Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini 12 Perkataan Baharu Ditambah Dalam Kamus Online DBP

Athirah

Ini 12 Perkataan Baharu Ditambah Dalam Kamus Online DBP

Seiring dengan peredaran zaman, banyak istilah baharu yang muncul dan digunakan oleh masyarakat moden untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Perkataan-perkataan yang digunakan pula, adakala asing pada pendengaran masyarakat yang ramai. Namun biasanya, ia diambil daripada bahasa sukuan atau dipinjam daripada bahasa asing.

Menurut hantaran Kementerian Pendidikan Tinggi di Facebook, terdapat 12 perkataan baharu yang telah dimasukkan pada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berikut adalah 12 perkataan baharu yang dimasukkan dalam Kamus Online DBP:

  • Ketimbang – kata sendi nama menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.

  • Tatanan – peraturan atau sistem yang ditetapkan atau yang dipersetujui bersama-sama

  • Intiha – akhir, penghabisan atau penutup

  • Mahsul – hasil mahsul; berbagai-bagai hasil dalam sesebuah negeri

  • Purbasangka – arkaik prasangka (perkataan Melayu klasik)

  • Taakul – hal membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik

  • Kesenjangan – keadaan senjang, ketidakseimbangan, kelainan, perbezaan

  • Tiwikrama – perubahan besar dengan usaha yang bersungguh-sungguh, pengubahan diri watak yang bertukar menjadi raksasa dan sebagainya dalam cerita wayang kulit

  • Walhasil – hasilnya atau akibat daripada sesuatu peristiwa, perbuatan, keadaan dan sebagainya

  • Maha Kaya – (tentang ALLAH SWT) sangat atau teramat hebat (tentang seseorang) besar atau tinggi kedudukannya

  • Kebinekaan – keadaan pelbagai jenis atau aneka ragam di sesuatu tempat, negara dan sebagainya

  • Tatakelola – pentadbiran organisasi mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan; menitikberatkan sifat dan sikap positif pemimpin, pengalaman, kemahiran dan pengetahuan; ideologi dan fikiran yang prolifik untuk menjana perubahan

Bahasa Melayu harus diangkat sebagai ‘pemain utama’

Sebelum ini, Bernama melaporkan Bahasa Melayu harus diangkat sebagai ‘pemain utama’ dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan nilai ekonomi dan komersial bahasa kebangsaan di negara ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata bagi meningkatkan taraf dan peranan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, setiap penjawat awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan yang berkualiti dalam penyediaan dokumen rasmi, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa awam.

“Pemain industri, khususnya sektor swasta seperti dalam media penyiaran, pengiklanan dan kewangan juga memainkan peranan penting dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu yang baik untuk penyampaian maklumat yang berkesan,” katanya.

Fadhlina juga menggariskan pentingnya kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa disemarakkan bagi merapatkan hubungan, pengertian serta kerjasama kesusateraan antara negara serta menyelaras kegiatan dan penyelidikan kebahasaan, kesusateraan dan budaya serantau

Kerjasama erat perlu diteruskan bagi membuka peluang kepada para sasterawan dalam usaha memajukan bakat, menterjemah, menerbitkan dan mengiktiraf pencapaian berkualiti dalam ciptaan sastera selain memperluas penyebaran serta penggunaan bahasa Melayu ke peringkat serantau dan antarabangsa.

BACA: Serabut Semak Pelepasan Cukai, Ini ‘Step By Step’ Nak ‘Potong’ Cukai Sampai RM3,000

Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi