Penyedia Media Sosial Diminta Segera Mohon Lesen Operasi Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 27 Disember (Bernama) — Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Januari 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tarikh akhir mengemukakan permohonan adalah sebelum atau pada 31 Disember.
Beliau turut memuji langkah Telegram dan Tencent (WeChat) yang telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.
“Terima kasih kepada Tencent dan Telegram kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Saya harap platform lain akan ikuti langkah mereka kerana jika mereka (penyedia platform) ingin memberi perkhidmatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy atau Sathiya sempena sesi Ziarah MADANI@Finas di Setapak Jaya di sini hari ini.
Semalam, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari itu bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Ia dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.
Kegagalan mengemukakan permohonan boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia perkara yang mahu dielakkan semua pihak.
BACA: Lebih Selesa & Mesra Pengguna, Perpustakaan Negara “Upgrade” Ruang Baharu
Mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa etika oleh segelintir individu, Teo berkata pelesenan bagi platform ‘over the top’ (OTT) diperlukan dalam usaha memastikan penyedia perkhidmatan itu menurunkan kandungan yang memudaratkan.
“Sebab itu kita perlu buat keputusan untuk adakan pelesenan OTT kerana kami juga perlukan bantuan oleh ‘platform provider’ untuk menurunkan kandungan yang memudaratkan. AI ialah satu teknologi baharu yang kita tidak boleh buat ‘pusingan U’.
“Ada individu yang menggunakan AI untuk menghasilkan video. Namun, untuk tujuan kandungan yang tidak baik, ia perlu diturunkan.
“Di Korea dan Amerika Syarikat ada menunjukkan AI diguna pakai bagi menghasilkan bahan pornografi melibatkan kanak-kanak, sebab itu sidang Parlimen yang lepas telah mengetatkan undang-undang berkaitan isu ini, ” katanya.
Pada 20 September lepas, Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) dilancarkan sebagai kerangka kerja untuk pengguna, penggubal polisi dan penyedia teknologi AI agar setiap langkah diambil selaras prinsip etika yang tinggi selain melambangkan komitmen kerajaan mewujudkan ekosistem teknologi yang selamat, beretika dan berorientasikan kemaslahatan umum.
BACA: TNB Komited Pastikan Bekalan Elektrik Terjamin & Berterusan Melalui Pelaksanaan RP4
Sumber: Bernama