Hospital Utama Terakhir Di Utara Gaza Diserbu, Tidak Lagi Berfungsi – WHO
Serbuan yang berlaku di Hospital Kamal Adwan pada awal pagi Jumaat menyebabkan kemudahan kesihatan utama yang terakhir di Utara Gaza kini tidak lagi berfungsi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), seramai 60 orang petugas kesihatan dan 25 orang pesakit kritikal termasuk yang masih bergantung dengan mesin pernafasan terperangkap di dalam hospital.
Sementara itu, pesakit parah dan sederhana telah dipindahkan ke Hospital Indonesia yang sudah dimusnahkan dan tidak lagi berfungsi. WHO menyatakan keprihatinan organisasi itu terhadap keselamatan mangsa serangan.
“Serbuan terhadap Hospital Kamal Adwan terjadi selepas sekatan yang semakin meruncing terhadap WHO dan rakan kongsi. Beberapa serangan berulang turut berlaku terhadap fasiliti dan sekitarnya sejak Oktober. Permusuhan dan serbuan seperti ini menggagalkan usaha dan sokongan kami dalam memastikan fasiliti berfungsi secara minimal.
“Perungkaian bersistem terhadap sistem kesihatan di Gaza merupakan hukuman mati buat ribuan warga Palestin yang memerlukan penjagaan kesihatan. Kejadian ngeri ini mesti dihentikan dan penjagaan kesihatan mesti dilindungi,” tegas WHO menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman X.
Dalam kenyataan yang sama, WHO turut menuntut genjatan senjata dilaksanakan.
https://x.com/WHO/status/1872744663196811482
BACA: Kebuluran Semakin Tenat Di Gaza – WFP
Malam tadi, Bernama juga melaporkan hospital berkenaan dibakar sehingga memusnahkan jabatan utama termasuk bilik bedah, makmal, unit kecemasan dan perkhidmatan ambulan. Komunikasi bersama mereka yang berada di dalam hospital turut terputus apabila tentera mengepung fasiliti berkenaan.
Terdahulu, Astro Awani melaporkan pengarah hospital, Dr Hussam Abu Safiya mengeluarkan kenyataan bahawa pendudukan tentera yang mengepung hospital berkenaan menyasarkan petugas dan pesakit yang cuba keluar dari hospital.
Tentera juga mula mengebom kawasan di sekitar fasiliti kesihatan tersebut dengan menyasarkan rumah berdekatan hospital.
Menurutnya, letupan tersebut mengakibatkan semua pintu, tingkap dan sekatan dalaman musnah. Selain itu, dinding hospital turut roboh sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan pesakit dan kakitangan berikutan pemandangan yang mengerikan itu.
Berikutan itu, beliau menyeru campur tangan segera masyarakat antarabangsa dalam melindungi sistem kesihatan, pekerja dan pesakit di hospital berkenaan.
BACA: Lori Kontena Terbalik, Laluan Terhalang Di KM74 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur
BACA: Replika Ada Pelekat Bendera China, Karnival Diarah Henti Operasi
Sumber: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Astro Awani, Bernama