Siakap Keli
sotong strawberi
Kredit: MBARI/NOAA

Digelar Sotong Strawberi, Kenali Sotong Cantik Berbintik Persis Manik

Digelar Sotong Strawberi, Kenali Sotong Cantik Berbintik Persis Manik

Lautan yang terbentang luas nampak kosong di permukaan. Siapa tahu, di bawah permukaan air yang terbentang luas, terdapat hidupan pelbagai spesies dan saiznya. Sejak penerokaan dasar laut beratus tahun dahulu, spesies hidupan air tidak pernah berhenti dicatat sehingga kini. Ada sahaja spesies baru ditemui, dengan pelbagai rupa dan bentuk badan yang luar biasa anehnya.

Keadaan lautan yang gelap dan tidak diketahui kedalamannya sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja rasa gerun memikirkan hidupan yang ada di dalamnya. Sering kita lihat, hidupan bergigi besar dan tajam, dengan bebola mata yang menggerunkan. Malah, ada juga hidupan yang boleh menghasilkan cahaya dan elektrik di badan.

Tidak dapat dinafikan, ada juga hidupan yang cantik dan comel seperti ikan lumba-lumba dan karang laut yang pelbagai warna.

Baru-baru ini, tular di media sosial sejenis spesies sotong yang berwarna merah jambu dengan badannya dipenuhi bintik-bintik yang kelihatan seperti manik. Tidak pernah kita sangka, ada juga hidupan yang ‘berbaju’ cantik dan bergemerlapan.

Berikut Min kongsikan 10 fakta menarik sotong strawberi diva ini

Pertama, sotong strawberi pertama kali dicatatkan dalam rekod hidupan laut ialah pada tahun 1913 oleh Samuel Stillman Berry. Berry merupakan seorang ahli zoologi dan seorang pakar malakologi, iaitu spesis Mollusca seperti siput, kerang, sotong dan lain-lain.

Selain itu, penemuan terbaru pada 2019 menunjukkan sotong strawberi boleh mencapai saiz sebesar lebih kurang satu meter dengan ukuran mantel atau badannya sahaja sepanjang 29 sentimeter.

Sotong strawberi ini juga ditemukan pada hari terakhir pelayaran Deep-Sea para saintis NOAA. Ketika pukat tunda terakhir kapal milik NOAA yang diberi nama Henry B. Bigelow ditarik, tiga ekor sotong strawberi tertangkap di perairan tengah, di zon mesopelagik.

BACA: Kenapa Bulan Purnama Dipanggil “Strawberry Moon”? Ini Sebabnya

Fakta seterusnya, sotong strawberi hidup di zon mesopelagik. Habitatnya ini bermula pada kedalaman 200 meter hingga 1000 meter. Di kedalaman ini, hanya sedikit cahaya matahari yang dapat menembusi air laut.

Nama ‘strawberi’ pula diberi berdasarkan warna kulit sotong ini yang menyerupai warna buah strawberi dengan kehadiran bintik-bintik merah jambu. Kalau nak tahu, warna merah jika dilihat di kedalaman itu akan menjadi warna hitam, jadi ia amat membantu sotong strawberi bersembunyi daripada pemangsa.

Selain itu, ‘manik’ di seluruh badan sotong ini yang dipanggil photophores membantu sotong strawberi menyamar apabila diancam

Teknik penyamaran ini dipanggil counter-illumination. Sotong strawberi akan menyesuaikan kecerahan cahaya yang dipancarkan menerusi ‘manik’ supaya menyerupai cahaya dari permukaan air. Cara ini dapat mengurangkan bayang-bayang yang terbentuk, sekaligus pemangsa tidak berapa nampak kehadiran mereka.

Kredit: National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)

Tahukah anda, sotong strawberi merupakan satu-satunya sotong dengan mata yang berbeza saiz. Sebelah mata sotong ini lebih besar berbanding mata yang lagi satu. Bukan itu sahaja, mata yang besar ini turut terbonjol keluar dengan warna yang aneh, iaitu kuning terang.

Seorang ahli biologi dari Duke University, Kate Thomas berjaya merungkai misteri di sebalik keanehan ini. Menurutnya, secara teori, mata yang lebih besar ini bersifat sensitif terhadap cahaya matahari dari permukaan air. Mata kuning ini membantu sotong diva menangkap kehadiran mangsa yang juga mempunyai penyamaran counter-illumination.

Pembentukan mata besar ini hasil evolusi sotong strawberi bagi mengadaptasi keadaan gelap di zon mesopelagik. Manakala mata yang lebih kecil pula bertindak sebagai pengimbas kehadiran pemangsa atau mangsa yang memancarkan cahaya bioluminesen.

BACA: Kini Berusia 124 Tahun, Kenali Henry Buaya Tertua Di Dunia

Ini membawa kepada fakta menarik seterusnya. Sotong strawberi juga mempunyai badan yang bioluminesen, iaitu mampu menghasilkan cahaya sendiri. Kebanyakan haiwan laut mempunyai ciri ini bagi menarik mangsa atau mengelirukan pemangsa.

Seterusnya, disebabkan badannya yang besar, sotong strawberi turut memakan ikan kecil, krustasea dan juga sotong kecil yang lain.

Fakta menarik terakhir Min nak kongsikan ialah spesis ini merupakan antara hidupan laut yang bermigrasi di lautan. Ia akan berada di kedalaman 660 kaki hingga 3300 kaki pada waktu siang,  dan menuju ke perairan yang lebih cetek pada waktu malam.

BACA: “Connected Successfully,” Rupanya Ini Pemilik Suara Di Sebalik Notifikasi Bluetooth

Sumber: National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), Monterey Bay Aquarium Research Institute (MBARI), Science Friday, Octonation, US National Science Foundation, MSN, Smithsonian Institution Archives, World Register of Marine Species, New Atlas,

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.