Menara Kuala Lumpur Sambut Tahun 2025 Dengan Persembahan Bunga Api Tertinggi Di Malaysia Dan Pertunjukan Cahaya Yang Memukau
Kuala Lumpur, 31 Disember 2024 – Menara Kuala Lumpur menyambut kedatangan tahun 2025 dengan sambutan yang penuh gilang-gemilang, menandakan kembalinya acara Malam Tahun Baharu yang memukau selepas hampir tiga dekad. Acara tahun ini telah menerima pengiktirafan kebangsaan sebagai Persembahan Bunga Api pada Altitud Tertinggi di Malaysia, disahkan oleh Malaysia Book of Records. Persembahan ini mencapai ketinggian luar biasa 307.610 meter dari aras tanah (401.610 meter dari aras laut), mengukuhkan kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda budaya dan seni bina yang ikonik.
Menambahkan lagi keajaiban malam tersebut, Menara Kuala Lumpur menerangi langit ibu kota dengan pertunjukan cahaya yang amat memukau, diiringi muzik rancak yang telah diselaraskan bersama lampu bagi menggamatkan suasana. Sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 421 meter, Menara Kuala Lumpur telah membuat ribuan pengunjung terpesona dengan pancaran warna-warni yang jelas kelihatan di seluruh bandaraya Kuala Lumpur.
Malam Sambutan Penuh Kemeriahan
Sambutan Quarter Century Malam Tahun Baharu 2025 memukau ribuan pengunjung dengan dua pertunjukan bunga api yang mencatat rekod. Persembahan pertama dilancarkan dari Tingkat TH07, mencapai ketinggian 307.610 meter dari aras tanah. Beberapa saat kemudian, satu lagi persembahan bunga api telah dilancarkan dari Tower Terrace, melengkapkan simfoni visual yang mempesona para penonton seluruh Kuala Lumpur.
Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan khas oleh pemain biola terkenal, Martin Looi. Melodi indahnya menambah elemen keanggunan dan keajaiban kepada sambutan tersebut, memukau penonton dan mencipta suasana yang penuh kemeriahan.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen Menara Kuala Lumpur untuk mencipta momen yang tidak dapat dilupakan selain dapat menyatukan masyarakat,” kata Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. “Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini juga memperkukuhkan kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda ikonik dan pemangkin sektor pelancongan di Malaysia.”
Sambutan Bersama Komuniti
Acara ini bermula pada jam 9:00 malam, menghimpunkan keluarga, rakan-rakan, dan pengunjung dari seluruh dunia. Suasana meriah dihidupkan dengan persembahan bertenaga oleh Sky Band, pek parti untuk pengunjung, dan kiraan detik yang penuh semangat, sebagai pembuka tirai kepada persembahan bunga api dan cahaya yang memukau.
Malam yang penuh gemilang ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan Menara Kuala Lumpur, malah mengukuhkan peranannya sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan budaya. Gabungan persembahan secara langsung, pertunjukan visual yang memukau, dan pencapaian rekod menjadikan sambutan ini kenangan yang akan diingati selamanya.
Menantikan Masa Depan
Sambutan Quarter Century Malam Tahun Baharu 2025 ini membuka lembaran baharu untuk Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Dengan keupayaan menganjurkan acara-acara antarabangsa dan menawarkan pengalaman pengunjung yang unik, Menara Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi mesti dikunjungi oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.
Kejayaan sambutan ini menjadi pencetus kepada lebih banyak acara istimewa yang bakal dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur di masa hadapan. Sebagai simbol kemajuan bandaraya Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur terus mencipta detik bermakna yang menyentuh hati rakyat Malaysia dan pengunjung antarabangsa.
Untuk Pertanyaan Lanjut:
Hubungi: +603-2020 5421
Laman Web: kltower.com.my
Ikuti: @menarakl di Facebook, Instagram, dan TikTok untuk perkembangan terkini dan acara acara akan datang di Menara Kuala Lumpur.