Derbi Barat Laut: Pertembungan Antara Dua Darjat
Tengah malam Ahad nanti bakal berlangsung perlawanan antara dua seteru utama Liga Perdana Inggeris, Liverpool lawan Manchester United.
Perlawanan dijadualkan berlangsung pada jam 12.30 tengah malam (waktu Malaysia) dan Anfield bakal jadi saksi pertemuan kedua musim ini.
Ini adalah perlawanan pertama bagi tahun 2025 untuk kedua-dua pasukan dan sudah pasti kedua-duanya memerlukan tiga mata berharga.
Manchester United Tempang
Manchester United ketika ini sedang bergelut dengan prestasi semasa apabila kali terakhir menang ketika aksi Derbi Manchester 16 Disember lalu.
Selepas itu, United mengalami empat episod kekalahan dengan merekodkan 11 bolos dan menjaringkan hanya tiga gol.
Ruben Amorim yang baru sahaja mengambil alih pasukan masih lagi ‘pening’ bagaimana mahu memahamkan pemain dengan falsafah bola sepak beliau.
Setakat ini, formasi tiga bek yang diamalkan Amorim sejak di Sporting sebelum ini agak teruk dikritik pemerhati bola sepak.
Ada yang berpendapat sistem 3 bek tidak sesuai di Liga Perdana Inggeris (PL) kerana banyak pasukan memulakan serangan dari bahagian sayap.
Jika kedua-dua belah bek sayap tidak menjalankan tugas dengan baik, 3 pemain bahagian pertahanan bakal berdepan ancaman yang kritikal.
Sangat penting untuk bek sayap berfungsi dengan cemerlang sekiranya sistem 3 bek ini mahu diadaptasi di liga sepantas Premier League.
Amorim juga berdepan masalah dengan beberapa pemain, terutama Marcus Rashford yang sudah beberapa perlawanan tiada dalam senarai.
Rashford juga dijangka bakal meninggalkan United pada jendela perpindahan musim sejuk yang sudah dibuka bermula 1 Januari 2025.
United ketika ini menghuni tangga ke-14 liga dengan rekod 6 menang, 4 seri dan 9 kalah.
Skuad bimbingan Amorim itu hanya 7 mata terpisah dari zon penyingkiran dan 25 mata dibelakang Liverpool.
Liverpool Masih Cemerlang
Selain United yang menerima pengurus baharu, Liverpool juga memulakan musim 2024/25 dengan pengurus baharu mereka iaitu Arne Slot.
Arne Slot yang setuju menggantikan era Jurgen Klopp adalah bekas pengurus juara Eredivisie 2023, Feyenoord.
Slot sedar mengambil alih tugas Klopp bukanlah sesuatu yang mudah apabila pengendali dari Jerman itu telah berjaya menamatkan kemarau 30 tahun penantian juara liga Liverpool.
Bukan itu sahaja, Klopp berjaya memenangi trofi utama yang lain seperti UEFA Champions League dan FIFA Club World Cup.
Ramai yang ragu-ragu dengan kemampuan Slot menerajui pasukan Liverpool sebelum ini.
Namun, selepas 27 perlawanan Slot hanya tewas sekali dalam semua kejohanan.
Liverpool menduduki tangga pertama dalam carta PL dan UCL, juga merekodkan 100 peratus kemenangan di pentas Eropah.
Mohamed Salah menjadi watak paling penting dalam membawa Liverpool antara kelab terbaik dunia musim ini.
Salah setakat musim ini telah menyumbang 20 gol dan 17 assist dalam semua kejohanan.
Apa yang menjadi masalah Liverpool ketika ini, tiga pemain utama mereka termasuk Salah, Van Dijk dan Arnold belum lagi menandatangani kontrak baharu.
Real Madrid baru-baru ini telah mengemukakan tawaran £20 juta untuk membawa Alexander Arnold ke Bernabeu namun ditolak Liverpool.
Liverpool masih yakin bahawa naib ketua pasukan itu bakal menandatangani kontrak baru dan terus kekal di Anfield.
Ketiga-tiga pemain akan tamat kontrak pada Jun 2025 dan bermula Januari ini, pasukan lain sudah boleh mula berunding dengan mereka untuk sebarang tawaran.
Setakat artikel ini ditulis, ketiga-tiga pemain masih belum memperbaharui kontrak masing-masing.
Pertembungan Antara Dua Darjat
Jika dinilai menerusi prestasi semasa, ini bukanlah masa terbaik United untuk menghadapi Derbi Barat Laut.
United sedang mengalami episod kekalahan dan Liverpool pula baru sahaja membelasah West Ham 5-0.
Seingat SK, ini adalah kedudukan terburuk United sepanjang 5 tahun ini sebelum menentang Liverpool.
Bagi Liverpool ketika ini, mereka bersedia menentang sesiapa sahaja dan sangat dahaga mahu tewaskan setiap lawannya.
Liverpool yang berada di takhta liga bagaikan pertembungan dua darjat menentang United di tangga ke-14.
Namun, dalam bola sepak prestasi semasa tidak menjamin 100 peratus persembahan atas padang sebelum 90 minit berakhir.
Kejutan mampu dilakukan Amorim terhadap skuad Arne Slot jika mereka berjaya mengeksploitasi kelemahan pasukan tuan rumah.