Pernah Tular, Paus Orca Dikesan Usung Bangkai Anak Sekali Lagi
Seekor ikan paus orca yang pernah tular mengusung bangkai anaknya yang telah mati pada 2018 dilihat kembali mengusung satu lagi bangkai anaknya baru-baru ini, lapor AFP.
Kejadian tersebut dilaporkan oleh penyelidik hidupan laut Amerika Syarikat dan disahkan oleh Pusat Penyelidikan Paus di Washington. Ikan paus orca tersebut dikenal pasti sebagai J35 atau nama timangannya, Tahlequah. J35 dilihat mengusung bangkai anaknya di perairan Puget Sound berdekatan Seattle pada 1 Januari.
“J35 membawa bangkai anaknya. Kelakuan yang sama pernah dilakukan oleh J35 pada 2018 apabila ikan paus tersebut membawa bangkai anaknya yang baru berusia 17 hari,” maklum pusat penyelidikan tersebut.
Mengimbas kembali, kelakuan J35 pada tujuh tahun yang lalu membawa bangkai anaknya dengan menolak badan bangkai tersebut menggunakan hidungnya. J35 juga pernah dilihat menggigit bangkai tersebut untuk dibawa bersama.
Pengasas Pusat Penyelidikan Paus, Ken Balcomb, menyifatkan kehilangan itu sebagi satu kejadian yang tragik.
“Kehilangan seekor anak paus betina yang terbaru itu amat menyayat hati kerana J35 kini kehilangan dua daripada empat anaknya yang pernah dicatatkan. Menerusi pemerhatian lanjut, kami harap ada maklumat terperinci mengenai keadaan ini,” tambahnya.
Katanya lagi, kumpulan ikan paus J35 kini menimang seekor lagi anak ikan paus yang baru lahir.
“Jantina anak ikan paus tersebut masih belum diketahui tetapi laporan menunjukkan tahap kesihatan fizikal dan tingkah lakunya kelihatan normal,” ujarnya.
Kumpulan ikan paus J35 merupakan spesies Ikan Paus Pembunuh Asal Selatan yang disenaraikan sebagai terancam di Amerika Syarikat. Populasi ikan paus ini hanya sekitar 70 ekor dalam tiga kumpulan. Ikan-ikan paus ini berada di perairan Puget Sound selama beberapa minggu setiap kali tiba musim bunga dan musim luruh.
Menurut Perkhidmatan Perikanan Laut Negara, jumlah ikan paus ini semakin berkurangan disebabkan oleh gabungan beberapa faktor. Antaranya termasuk jumlah mangsa yang semakin berkurangan serta gangguan dan bunyi yang disebabkan oleh kapal dan bot di perairan tersebut.
BACA: “7 Bulan Allah Pinjamkan,” Wanita Kongsi Detik Sayu Anak Dijemput Ilahi Ketika Tidur
Sumber: AFP