Program PEKB Tingkatkan Taraf Hidup Golongan B40 Bandar Melalui Keusahawanan
PUTRAJAYA, 8 Januari 2025 – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu telah merasmikan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) Tahun 2025 kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di pagi ini.
Bagi tahun 2025, sebanyak 29 NGO pelaksana telah diberi tanggungjawab untuk melatih peserta PEKB dan memastikan setiap peserta menerima latihan keusahawanan yang berkualiti serta bimbingan secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam mengusahakan perniagaan sendiri.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah diperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi pelaksanaan Program PEKB pada tahun 2025 yang dijangka akan memberi manfaat kepada 1,060 peserta daripada golongan B40 kumpulan isi rumah terendah.
Program PEKB melalui kerjasama NGO merupakan antara inisiatif KPKT dalam merealisasikan hasrat Kerajaan MADANI untuk membendung isu kemiskinan tegar di bandar. Program PEKB mula dilaksanakan sejak tahun 2013 dan sehingga kini, KPKT telah memperuntukkan sejumlah RM174 juta bagi melatih seramai 16,955 orang usahawan PEKB di seluruh negara.
Melalui program ini, peserta PEKB yang terdiri daripada golongan B40 kumpulan isi rumah terendah akan diberikan latihan keusahawanan selama tujuh (7) hari untuk meningkatkan kemahiran dalam pengendalian perniagaan dan keusahawanan. Ia bertujuan untuk memastikan peserta PEKB mampu mengusahakan perniagaan dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup agar keluar daripada kepompong kemiskinan.
Para peserta juga turut diberikan peralatan perniagaan selepas tamat menjalani latihan tersebut bagi membolehkan mereka terus memulakan perniagaan. Pihak NGO yang telah dilantik juga akan memantau aktiviti perniagaan peserta PEKB selama enam (6) bulan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM750 iaitu di atas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Per Kapita yang terkini.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI iaitu memastikan tiada rakyat yang terpinggir, KPKT dengan kerjasama strategik NGO kekal komited dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di bawah Program PEKB. Langkah ini diambil bagi mengurangkan isu kemiskinan bandar yang semakin membelenggu, sekali gus menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup komuniti khususnya di bandar.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT; YBrs. Tuan Haji Suhaimi bin Ali @ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti); barisan Pengurusan Tertinggi KPKT, wakil Kementerian dan Agensi Kerajaan, wakil Setiauasaha Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pengurusan tertinggi NGO pelaksana.
KPKT akan terus kekal komited untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan NGO dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang berfokus kepada pembasmian kemiskinan bandar dan peningkatan kesejahteraan komuniti. Usaha bersepadu ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan yang terpinggir untuk meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga merealisasikan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membangun sebuah masyarakat yang inklusif, sejahtera dan mampan.