Hipertensi Pembunuh Senyap di Malaysia: Usah Ambil Mudah
Hipertensi, atau lebih umum disebut sebagai tekanan darah tinggi, adalah keadaan kronik di mana kekuatan tekanan darah pada dinding arteri adalah tinggi secara berterusan. Ia juga dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana kebiasaannya ia hadir bersama sedikit atau tanpa simptom, menjadikan pemantauan berkala adalah penting. Hipertensi ditakrifkan sebagai peningkatan berterusan tekanan darah pada atau melebihi 140/90mmHg dan disahkan melalui bacaan yang diambil pada sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan. Walau bagaimanapun, bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah dianggap “berisiko”. Individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat ini perlu memantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup bagi membantu menurunkan tekanan darah.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia. Daripada angka ini, 11.9 peratus sebenarnya tidak tahu bahawa mereka menghidap hipertensi. Lebih merisaukan apabila kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun, sekali gus menunjukkan pertambahan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda. Walaupun berdepan dengan risiko yang ketara ini, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari status tekanan darah mereka, biasanya kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal.
Dr Jolene See Su Chen, Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman) di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, merungkai mitos dan fakta penting mengenai hipertensi. Beliau menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengekalkan gaya hidup sihat, sambil menjelaskan bahawa setelah disahkan menghidap hipertensi, ia merupakan keadaan kronik yang memerlukan pengurusan dan penjagaan berterusan sepanjang hayat. Beliau berkongsi kepakarannya dengan menjelaskan tentang peningkatan kes hipertensi yang semakin membimbangkan kini, terutamanya dalam kalangan populasi lebih muda.
Dr Jolene memberitahu, “Hipertensi di Malaysia telah menyaksikan pertambahan kes, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 40 tahun, malah ada sebahagian pesakit yang berumur dua puluhan.” Beliau menjelaskan bahawa peralihan ini disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup, dan tabiat pemakanan. Dr Jolene juga mengetengahkan mitos lazim bahawa hipertensi hanya melibatkan golongan berusia. “Salah tanggapan ini adalah berbahaya. Ia menyebabkan ramai orang muda percaya bahawa mereka tidak berisiko, sekali gus mengakibatkan pengabaian dan diagnosis lewat,” tegas Dr Jolene.
Gejala Ringan dan Komplikasi Serius
Biasanya hipertensi berlaku tanpa sebarang petanda atau gejala. Oleh itu, pemeriksaan secara berkala adalah penting. Apabila mula menunjukkan gejala, ia mungkin menandakan hipertensi telah dihidapi untuk beberapa ketika. Antara gejalanya termasuklah sakit kepala, pening, sesak nafas, sakit dada dan hidung berdarah. Jika tidak dirawat, hipertensi boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk dan berpotensi mengancam nyawa, termasuk serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung yang tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan kehilangan penglihatan.
Oleh itu, Dr Jolene menekankan supaya, “Orang ramai harus menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan tahunan mereka. Tekanan darah juga perlu diperiksa sewaktu berjumpa doktor di klinik biarpun bagi masalah kesihatan yang lain. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus memantau tekanan darah mereka dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menguruskan keadaan dengan berkesan.”
Ancaman Akibat Tabiat Gaya Hidup dan Pemakanan
“Kebanyakan rakyat Malaysia mengambil diet yang tinggi dengan kandungan garam dan lemak, serta rendah nutrien penting. Kekurangan aktiviti fizikal dan stres yang tinggi dalam persekitaran kerja lebih menambahkan risiko mendapat tekanan darah tinggi,” kata Dr Jolene.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengawal pengambilan natrium harian mereka di bawah 2,000 miligram sehari, iaitu bersamaan dengan kira-kira 1 sudu teh. “Kita juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi serta membantu menurunkan paras kolesterol LDL yang dikaitkan dengan penyakit jantung. Diet DASH tertumpu kepada melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak (daripada daging, ayam atau ikan tanpa lemak). Adalah penting untuk memilih makanan rendah lemak tepu dan trans, yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses,” jelasnya.
Perubahan Gaya Hidup dan Ubat-ubatan
Pendekatan yang proaktif perlu diambil bagi mengurus dan mencegah hipertensi. “Makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan senaman yang kerap dan mengekalkan berat badan yang ideal adalah langkah pencegahan utama,” kata Dr Jolene. Beliau menambah beberapa garis panduan am untuk mengekalkan berat badan yang sihat, iaitu:
- Indeks Jisim Badan (BMI): Sasarkan BMI antara 18.5 dan 22.9, berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
- Ukur lilit pinggang: Sasaran ukur lilit pinggang bagi lelaki ialah kurang daripada 90 sentimeter (cm), manakala kurang daripada 80 cm bagi wanita, berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
- Penurunan berat badan: Penurunan berat badan yang sederhana sebanyak 5 hingga 10 peratus daripada berat semasa anda boleh menambahbaik tekanan darah dan kesihatan keseluruhan dengan ketara.
Dr Jolene menekankan kepentingan mengikuti rawatan yang ditetapkan untuk hipertensi, menasihati pesakit yang baru didiagnosis untuk memandang serius keadaan mereka, membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan, dan mematuhi nasihat doktor tanpa mengubah dos ubatan sendiri. Beliau juga menolak mitos yang mendakwa bahawa pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang mungkin membahayakan buah pinggang pesakit dan boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Dia menekankan bahawa pemikiran ini berbahaya, kerana semua ubat-ubatan telah diuji secara saintifik dan ditetapkan pada dos yang selamat di bawah pengawasan doktor pesakit. Sebaliknya, tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh merosakkan saluran yang membekalkan darah kepada buah pinggang dengan teruk, sekali gus menyebabkan kegagalan buah pinggang dan merosakkan organ penting lain dengan lebih cepat dan teruk.
Hidup dengan Hipertensi
Pencegahan bermula dengan kesedaran, pengetahuan, dan tindakan. Memahami risiko dan membuat pilihan yang wajar, misalnya mengamalkan diet yang sihat, mengurangkan pengambilan garam, dan mengekalkan gaya hidup seimbang dengan senaman yang kerap adalah langkah utama dalam mencegah hipertensi. Keluarga dan rakan turut memainkan peranan penting dalam menyokong mereka yang menghidap hipertensi dengan mengingatkan mereka untuk memakan ubat, memantau tekanan darah dengan kerap, dan menggalakkan tabiat hidup yang sihat. Dengan memahami bahaya hipertensi dan mengambil langkah proaktif, kita boleh memerangi ancaman kesihatan yang semakin meningkat ini dan menjaga kesejahteraan generasi akan datang.
Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway yang ditubuhkan pada tahun 1999 merupakan hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia. Ia dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin bagi menyediakan rawatan khusus dengan pendekatan penjagaan holistik. Meraikan ulang tahunnya yang ke-25, SMC telah mendapat akreditasi daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS), dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), selain telah diiktiraf sebagai antara 250 hospital terbaik di dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia 2024 Newsweek.