Siakap Keli
beruang matahari
Kredit: Claire Asher/Mongabay

Jadi Maskot TMM 2026, Ini Fakta Mengenai Beruang Matahari

Jadi Maskot TMM 2026, Ini Fakta Mengenai Beruang Matahari

Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperkenalkan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas Tahun Melawat Malaysia (Visit Malaysia) 2026. Antara yang menjadi tumpuan warga Malaysia ialah pemilihan beruang matahari sebagai maskot kali ini iaitu Wira dan Manja.

Rupa-rupanya, masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan haiwan ini sebagai salah satu haiwan tempatan.

Kenali beruang matahari

Beruang matahari malaya atau nama saintifiknya Helarctos malayanus merupakan spesies beruang yang amat jarang ditemui, malah tidak banyak penyelidikan yang telah dilakukan. Jadi, mari kita kenali haiwan comel yang boleh ditemui di Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini.

Kredit: Tourism Malaysia

Seperti juga beruang yang lain, haiwan ini mempunyai bulu yang berwarna hitam. Bulu hitam yang pendek ini berfungsi mengelakkan beruang menjadi panas menghadapi cuaca tropika. Manakala kulitnya yang tebal dan kasar pula dapat melindungi badan dari ranting, dahan dan hujan.

Namun, bezanya, beruang matahari malaya lebih mudah dikenali kerana mempunyai ‘rantai’ emas atau putih di dadanya

Beruang ini juga mempunyai kulit yang ‘longgar’ bagi membolehkannya memusingkan badan sekaligus mempertahankan diri ketika digigit pemangsa. Disebabkan mereka mempunyai badan yang berotot, telinga yang kecil dan muncung yang pendek, beruang ini turut digelar ‘beruang anjing’.

Menariknya, beruang matahari juga merupakan antara tiga spesies beruang yang tidak berhibernasi. Ini disebabkan tempat tinggal mereka yang tidak mempunyai musim sejuk mahupun musim ‘kekurangan makanan’.

Satu lagi fakta menarik berkenaan beruang ini ialah saiz beruang dewasa hanya boleh mencapai 150 sentimeter dengan berat sehingga 65 kilogram sahaja. Ini membuatkan haiwan comel ini memegang status spesies beruang paling kecil di dunia.

Antara ciri unik yang tidak ada pada beruang lain ialah ibu beruang matahari pernah dilihat mengendong anaknya dengan kedua tangannya ketika berjalan menggunakan dua kaki belakangnya.

BACA: Ramai Puji Logo Visit Malaysia 2026, Maskot Jadi Tumpuan

Sebagai haiwan omnivor, beruang matahari makan buah-buahan, kekacang, serangga, haiwan mamalia dan burung-burung yang kecil. Deria baunya yang amat sensitif membenarkan haiwan ini berupaya mencari makanan di malam hari, bertentangan dengan nama timangannya. Jangan terkejut, mereka juga memakan akar-akar pokok.

Mereka juga mampu mengopak batang pokok dan sarang anai-anai lantaran mempunyai kuku yang amat panjang, sehingga mampu mencecah empat inci. Dengan kuku ini juga, mereka mampu memanjat pokok dengan mudah dan pantas

Malah, beruang matahari malaya turut mempunyai lidah yang sangat panjang bagi membolehkan haiwan comel ini dapatkan madu dari sarang lebah. Dietnya yang memakan madu ini menyebabkan ia turut mendapat gelaran ‘beruang madu’.

beruang matahari malaya
Kredit: Mongabay

Setelah mengetahui fakta-fakta menarik tentang beruang matahari kita, SK ingin menjawab pula persoalan mengapa beruang ini amat jarang ditemui sedangkan habitat sebenarnya hampir meliputi kebanyakan kawasan dari utara hingga ke selatan Semenanjung.

Untuk pengetahuan anda, beruang matahari malaya tersenarai dalam senarai merah spesies terancam (VU) bagi Semenanjung Malaysia sejak 2009 lagi

Malah di peringkat antarabangsa, beruang ini juga termasuk dalam senarai merah spesies terancam (VU) IUCN pada 2017.

Beruang matahari menghadapi pelbagai ancaman termasuk kehilangan tempat tinggal, pemecahan populasi, pemburuan haram dan perdagangan untuk ubat tradisional. Media pernah melaporkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan Malaysia membanteras pemburuan haram beruang matahari pada 2020.

Dengan jangka hayat hanya 25 tahun, ditambah pula kadar kelahiran yang perlahan iaitu seekor hingga dua ekor anak bagi seekor beruang betina, kadar penambahan populasi haiwan terancam ini turut menjadi perlahan.

Bagi meneruskan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan terancam ini, tarikh 16 Mei ditetapkan sebagai Hari Beruang Matahari Sedunia setiap tahun.

Sebagai orang awam, marilah kita sama-sama menyokong kempen ini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang urusan mencurigakan yang melibatkan beruang matahari malaya kita.

Selain itu, telah ada organisasi yang ditubuhkan bagi menyokong kempen ini iaitu Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo (BSBCC) di Sabah.

Menurut BSBCC, terdapat 43 beruang matahari yang diselamatkan berada di situ ketika ini. Selain menjadi pusat untuk tujuan pemuliharaan, BSBCC juga dibuka kepada orang ramai sejak 2014.

Ia sekaligus memberi peluang untuk orang awam belajar mengenai beruang tersebut.

https://www.instagram.com/reel/C7xlGITAR88/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=MzRlODBiNWFlZA==

Sumber: Malaysian Wildlife, Mongabay, Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS), National GeographicWWF, Slate, Red list of Mammals for Peninsular Malaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: