Siakap Keli
taylor's university

Taylor’s University Melancarkan Program Sains Kesihatan Gunaan

Subang Jaya, 9 Januari 2025 — Dalam usaha memenuhi peningkatan permintaan terhadap profesional berkemahiran, Taylor’s University telah melancarkan program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan. Inisiatif yang bersifat ke hadapan ini bertujuan mempersiap graduan untuk mengatasi  cabaran-cabaran kesihatan Malaysia yang mendesak, termasuk peningkatan penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi masyarakat menua, dan pertambahan penekanan ke atas perkhidmatan kesihatan mental.

 

Program ini diperkenalkan selaras dengan perkembangan pesat sektor penjagaan kesihatan Malaysia, yang dijangka berkembang pada kadar tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13.5% dan mencecah USD48.41 bilion menjelang 2028. Pertumbuhan ini menunjukkan keperluan tinggi untuk profesional berkemahiran  dalam mengatasi cabaran-cabaran penjagaan kesihatan yang kritikal.

 

Ditawarkan di bawah Pusat Pengajian Biosains, program sarjana muda 3 tahun ini menyediakan para pelajar dengan asas yang kukuh dalam sains kesihataan gunaan. Kurikulumnya direka bagi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan mendalam, kepakaran praktikal, dan keupayaan penyelidikan untuk cemerlang dalam landskap penjagaan kesihatan dinamik Malaysia.

 

Keistimewaan program ini terdiri daripada empat bidang pengkhususan, setiap satunya mengatasi cabaran kritikal kesihatan awam:

 

  • Genetik: Pemahaman asas genetik penyakit dan kemajuan dalam teknologi genetik.
  • Embriologi: Mendalami perkembangan embrionik dan teknologi reproduksi canggih.
  • Neurosains: Meneroka kompleksiti otak manusia, termasuk laluan saraf, hubungan tingkah laku otak, dan gangguan neurologi.
  • Pemakanan: Kajian kesan diet terhadap kesihatan, metabolisme, serta strategi-strategi bagi pencegahan penyakit.

 

Program ini menggabungkan alat canggih seperti Jujukan Berulang antara Ruang Palindromik Pendek Bergugus Tetap (CRISPR), Antara muka Otak-Komputer (BCI), Pensenyawaan in-vitro (IVF), dan teknologi penderiaan boleh pakai, mempersiap graduan untuk menangani cabaran moden penjagaan kesihatan. 

 

“Program ini direka bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bukan sekadar menangani jurang dalam tenaga kerja penjagaan kesihatan Malaysia, tetapi juga pakar di dalam teknologi penjagaan kesihatan termaju dan mampu memacu inovasi dalam sektor ini,” kata Dr Lee Sau Har, Pengarah Program Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan.

 

“Dengan menyepadukan alat-alat teknologi terkini, para pelajar kami memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi mengatasi cabaran penjagaan kesihatan moden. Di samping itu, kurikulum kami juga menggabungkan pengetahuan saintifik dengan kemahiran keusahawanan, yang mampu memberikan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan dan projek penyelidikan tertumpu, seiring dengan pengkhususan mereka. Elemen-elemen ini membolehkan mereka berdepan dengan masalah kesihatan tertentu dan menyumbang kepada penyelesaian penjagaan kesihatan yang lestari di Malaysia dan di luar negara,” tambah beliau.

 

Semasa pelancaran, panel pakar industri yang terdiri daripada Encik Arieff Aaron Abdullah, Pengarah Invest Selangor – Pejabat Penyelaras Bioteknologi Selangor (S-BIOCO), Profesor Dr Leong Chee Onn, Pengasas AGTC Genomics dan Dr Lee Sau Har membincangkan landskap penjagaan kesihatan yang pesat berubah di Malaysia, menekankan kepentingan sains kesihatan gunaan dalam memenuhi keperluan bagi penyelesaian mampan dan inovatif.

 

“Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa lebih dua juta orang dewasa di Malaysia hidup dengan tiga NCD utama iaitu diabetes, hipertensi, dan kolesterol tinggi. Keperluan untuk penyelesaian penjagaan kesihatan inovatif kini amat penting,” kata Encik Arieff Aaron Abdullah.

 

Sementara itu, Profesor Dr Leong Chee Onn berkata, “Industri penjagaan kesihatan sedang melalui perubahan transformatif, didorong oleh kemajuan dalam teknologi terutamanya di dalam genomik, kecerdasan buatan (AI) dan perubatan ketepatan. Inovasi-inovasi ini mengubah cara diagnostik dan rawatan, tetapi ia juga menekankan keperluan tenaga kerja mahir yang  dapat menggunakan teknologi ini bagi mengatasi cabaran penjagaan kesihatan yang kompleks dan menambah baik hasil bagi pesakit.” 

 

Program ini juga diselaraskan dengan dasar-dasar utama, termasuk Kertas Putih Kesihatan Malaysia dan Polisi Kebangsaan bagi Kualiti di dalam Penjagaan Kesihatan 2022-2026, melengkapkan graduan untuk menyumbang kepada kelestarian penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan inovasi polisi.

 

Program Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan Taylor’s University’s  bakal menerima kemasukan pertama pelajar pada April 2025, dan pengambilan seterusnya pada bulan April dan September setiap tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila layari bit.ly/TaylorsAppliedHealthSciences

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.