Siakap Keli
projek perumahan sakit & terbengkalai

475 Projek Perumahan Sakit & Terbengkalai Berjaya Diselesaikan Sepanjang Tahun 2024

475 Projek Perumahan Sakit & Terbengkalai Berjaya Diselesaikan Sepanjang Tahun 2024

PUTRAJAYA, 14 Januari 2025 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu telah mempengerusikan Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 1 Tahun 2025  pada hari ini. Ia bertujuan bagi meneliti dan memantau statistik serta status terkini projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai di Malaysia.  

YB Datuk Hajah Aiman Athirah memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2024, TFST  telah mengesan dan memantau sebanyak 249 projek perumahan swasta lewat dan 392 projek perumahan swasta sakit serta 113 projek perumahan swasta terbengkalai. Terdapat sedikit peningkatan bilangan projek-projek sakit berbanding pelaporan pada 30  November 2024 iaitu daripada 376 projek kepada 392 projek.

Projek-projek lewat turut  menunjukkan peningkatan iaitu daripada 202 projek kepada 249 projek yang direkodkan  manakala 113 projek kekal berstatus terbengkalai. Kesemua projek perumahan swasta  lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini membawa nilai pembangunan kasar (Gross  Development Value – GDV) sebanyak RM130.83 bilion melibatkan 139,969 unit rumah. 

projek perumahan sakit & terbengkalai

Secara keseluruhannya, sepanjang tahun 2024 TFST menunjukkan pencapaian positif  apabila 475 projek (59,050 unit rumah) telah berjaya ditangani dengan Nilai  Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) bernilai RM52.67 bilion. Jumlah  projek yang berjaya ini merangkumi 441 projek memperoleh Sijil Perakuan Siap dan  Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC), 25 projek yang  berstatus lewat kembali menjadi lancar dan sembilan (9) projek terbengkalai berjaya  dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC/CFO dan kaedah  penyelesaian pembeli. 

Menyoroti pencapaian TFST bagi tahun 2024, secara keseluruhannya GDV projek yang  berjaya dipulihkan sebanyak RM52 bilion merupakan peningkatan sebanyak 30.62% berbanding GDV pada 2023 sebanyak RM39.81 bilion. Dalam hubungan ini, projek yang  memperoleh CCC bagi tahun 2024 sebanyak 441 projek menunjukkan peningkatan 11.93% berbanding 394 projek pada tahun 2023. Data ini juga menunjukkan sebanyak  54,420 unit rumah telah memperoleh CCC berbanding 39,028 unit rumah bagi tahun  2023.

Bagi projek sakit, bilangan projek sakit telah menurun sebanyak 22.38% atau 113  projek di mana pada Disember 2024 mencatatkan 392 projek sakit berbanding 505  projek sakit pada Disember 2023. Manakala bagi projek terbengkalai, ia juga telah  menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 3.42% atau 4 projek di mana Disember 2024  bilangan projek terbengkalai adalah sebanyak 113 projek berbanding 117 projek pada  Disember 2023. 

Menurut YB Datuk Hajah Aiman Athirah, “Kerajaan MADANI komited untuk terus  mempergiatkan usaha pemulihan projek-projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai  melalui langkah-langkah strategik dan kerjasama pelbagai pihak. Sebagai sebahagian  daripada langkah ini, lawatan tapak secara berkala dilaksanakan bagi menilai situasi sebenar  di lapangan dan menangani isu-isu projek perumahan”.  

Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 36 projek telah dilawati oleh YB Timbalan  Menteri, di mana 19 projek telah berjaya memperoleh CCC. Ini menunjukkan kemajuan  yang signifikan dalam pemulihan projek perumahan swasta. Baki 17 projek telah  menunjukkan kemajuan kerja yang signifikan berbanding dahulu dan dijangka akan  memperoleh CCC mengikut jadual yang dirancang. 

projek perumahan sakit & terbengkalai

Selain itu, aspek pemantauan juga turut ditambahbaik mulai tahun 2025. Pemaju tidak lagi  dihadkan hanya menghantar laporan kemajuan projek setiap sukuan bahkan turut dibenarkan untuk mengemaskini laporan kemajuan projek di dalam Housing Intergrated  Management System (HIMS) sepanjang tahun mengikut kesesuaian pemaju dan ini  membolehkan data diperoleh secara langsung (near real time)

Sistem HIMS & TEDUH akan ditambahbaik untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik  dan telus kepada pemaju, pembeli rumah, bank dan semua rakyat Malaysia. Antara  penambahbaikan yang dijangkakan pada tahun 2025 adalah :- 

1. Penggunaan e-SPA – Semua urusan perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli  dilaksanakan secara digital dalam sistem HIMS; dan 

2. Pelaksanaan sistem Demerit pemaju dan ahli lembaga pengarah untuk menggantikan  sistem senarai hitam sedia ada. 

TFST akan terus diperkasa sebagai platform utama untuk mengenal pasti isu-isu yang  menjejaskan projek perumahan swasta dan mencadangkan penyelesaian bagi melindungi  kepentingan pembeli. Ianya seiring dengan hasrat KPKT iaitu tiada projek terbengkalai  menjelang tahun 2030. Kerjasama semua pihak berkepentingan terbukti membuahkan hasil yang positif dan memberi manfaat kepada pembeli. TFST akan terus berusaha untuk  membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek perumahan swasta yang sakit, lewat dan terbengkalai dengan menyediakan penyelesaian yang sewajarnya. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.