Siakap Keli
rafizi terima darjah kebesaran
Kredit: Rafizi Ramli/Bernama

Dikurnia Gelaran Datuk Seri, Rafizi Ikrar Berpegang Kepada Amanah

Dikurnia Gelaran Datuk Seri, Rafizi Ikrar Berpegang Kepada Amanah

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan (SSNS) Yang Amat Cemerlang bersempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri (YDPB) Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almahrum Tuanku Munawir hari ini.

Darjah kebesaran ini membawa gelaran Datuk Seri kepada beliau.

Dalam kiriman di Facebook, Rafizi turut berikrar untuk sentiasa berpegang kepada amanah yang telah diberikan kepadanya.

“Patik dengan rasa kesyukuran merafak sembah dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan tuanku di atas pengurniaan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) kepada patik sempena Hari Keputeraan Ke-77 DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

“Patik amat menghargai kurniaan ini dan berikrar akan berpegang kepada amanah dan tekad untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau juga turut mendoakan YDPB sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

Menurut Bernama, Rafizi mendahului senarai 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan tahun ini.

Selain beliau, lima individu menerima aungerah Darjah Dato Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk. Antaranya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited Datuk Chua Ming Huat dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Selain itu, tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan turut menerima anugerah berkenaan. Mereka ialah Mustapha Naggor, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Dalam pada itu, Darjah Setia Tuanku Mukhriz (DSTM) Yang Amat Gemilang dikurniakan kepada S Sheranjiv. Beliau merupakan Pemegang Amanah Yayasan Munarah dan darjah ini membawa gelaran Datuk kepada beliau.

Seramai 25 individu menerima gelaran Datuk apabila dianugerahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) daripada YDPB hari ini. Antara yang tersenarai termasuk Pengarah Peperangan Informasi Rejimen Semboyan Diraja, Brigedier Jen Dr Adnan Ajis.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung selama tiga sesi. Sesi pertama berlangsung pada hari ini, sesi kedua pada 20 Januari dan sesi ketiga pada 25 Januari. Acara gilang-gemilang ini berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

BACA: Ini Sebab Negeri Sembilan Tiada Sultan

Sumber: Rafizi Ramli, Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.