Merungkai Kadar Kemalangan Dan Kecederaan Otak Traumatik
Menjelang musim cuti sekolah yang semakin hampir, pasti banyak keluarga sudah merancang perjalanan yang dinanti-nantikan untuk meluangkan masa berkualiti bersama. Seiring pertambahan jumlah pengguna jalan raya, pastinya potensi kecederaan otak traumatik (KOT) akibat kemalangan jalan raya juga meningkat.
KOT merupakan keadaan yang serius, namun sering diabaikan. Ia merupakan punca utama kematian dan hilang upaya di seluruh dunia, yang menjejaskan lebih 69 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Di Malaysia, prevalensinya juga sangat tinggi. Menurut Pangkalan Data Trauma Kebangsaan Malaysia (National Trauma Database Malaysia), hampir 80 peratus kes trauma berpunca daripada kemalangan jalan raya, dengan 64 peratus kejadian melibatkan TBI.
Keadaan ini semakin membimbangkan apabila kadar kemalangan jalan raya melonjak daripada kira-kira 370,000 kes pada 2021 kepada 545,585 pada 2022. Ia terus meningkat kepada 598,635 pada 2023. Angka tersebut adalah lebih tinggi daripada yang pernah dicatatkan sebelum pandemik.
Dr. Johan Quah Boon Leong, Perunding Pakar Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC), mengetengahkan isu kritikal mengenai KOT, meliputi faktor penyebab kepada kesan jangka panjang terhadap individu dan masyarakat, terutama pada musim cuti.
Memahami Dua Jenis KOT
Kecederaan otak traumatik (KOT) boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
- KOT terbuka: Objek asing seperti peluru atau serpihan menembusi tulang tengkorak
- KOT tertutup: Berlaku apabila daya luar menyebabkan otak terhentak atau bergerak di dalam rongga tengkorak, tanpa melibatkan penembusan pada tulang tengkorak
Kajian menunjukkan kecederaan kepala yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya merupakan faktor risiko utama untuk KOT. Asia Tenggara terutamanya, menyumbang kepada 56 peratus daripada kes global berbanding hanya 25 peratus di Amerika Utara. Menurut Laporan Rawatan Rapi Malaysia pada 2017, kecederaan kepala adalah antara sebab utama kemasukan pesakit ke ICU, berjumlah 7.1 peratus.
Dr. Johan berkata, “KOT boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Terjatuh, kemalangan jalan raya, kecederaan sukan, dan hentakan daripada objek merupakan antara sebab utama ia terjadi. Data menunjukkan KOT paling lazim berlaku dalam kalangan anak muda yang menunggang motosikal dan kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang berisiko tinggi.”
Menurut Pangkalan Data Trauma Kebangsaan Malaysia, kemalangan jalan raya kebanyakannya melibatkan 87 peratus lelaki dan 34 peratus daripadanya adalah golongan muda berusia 15 hingga 34 tahun. Figura tersebut menguatkan lagi kenyataan Dr. Johan.
Spektrum, Kesan dan Pilihan Rawatan untuk KOT
Tidak hanya menyebabkan trauma fizikal serta-merta, KOT juga memberi kesan jangka panjang kepada pesakitnya. Mereka mungkin mengalami hilang ingatan, kesukaran untuk fokus, perubahan personaliti, kemurungan, keresahan, perubahan mood, sakit kepala kronik, dan pening.
Kes KOT yang teruk pula boleh membawa kepada ensefalopati traumatik kronik (CTE) dan demensia pasca trauma (PTD), sekali gus menjejaskan lagi fungsi kognitif dan motor. Keadaan ini lama-kelamaan akan mempengaruhi kehidupan seharian, menjejaskan pekerjaan, perhubungan, serta memerlukan sokongan perubatan dan psikologi berpanjangan.
KOT boleh berlaku dalam pelbagai peringkat, dari ringan hingga serius. Tahap keterukan KOT ditentukan menggunakan Skala Koma Glasgow (Glasgow Coma Scale) yang mengukur tahap kecederaan berdasarkan keupayaan seseorang untuk mengikuti arahan, pergerakan mata, dan pertuturan yang jelas.
KOT ringan, seperti konkusi otak, biasanya dirawat dengan pemantauan simptom, berehat, dan ubat untuk melegakan kesakitan atau loya. KOT sederhana hingga berat pula mungkin memerlukan pembedahan segera untuk mengurangkan tekanan. Bagi KOT sederhana atau parah mungkin memerlukan pembedahan dengan segera, penjagaan rapi dan ubat-ubatan untuk mengurangkan pengumpulan cecair di dalam otak, mencegah sawan, dan membantu proses pemulihan.
“Dengan KOT, hasilnya mungkin berbeza, dengan beberapa kecederaan ringan boleh menyebabkan kesan lebih buruk berbanding yang sederhana disebabkan oleh faktor individu. KOT yang serius boleh menyebabkan kemerosotan yang signifikan dalam pergerakan, penglihatan, koordinasi, daya ingatan, dan emosi.
Tindakan perubatan segera adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan pengurusan yang efektif. Ini adalah kerana kecederaan yang ringan atau berulang boleh mempunyai kesan jangka panjang seperti demensia awal,” jelas Dr. Johan.
Tempoh pemulihan KOT adalah berbeza-beza mengikut tahap teruknya kecederaan. KOT ringan, seperti gegaran atau konkusi otak, biasanya boleh sembuh dalam masa beberapa minggu sahaja. Sementara itu, KOT sederhana hingga parah pula mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk sembuh.
Menariknya, kajian menunjukkan bahawa 75 peratus pesakit KOT sederhana hingga parah yang menjalani rehabilitasi neurologi yang rapi selama 12 bulan dapat mencapai tahap kefungsian yang baik. Walau bagaimanapun, sesetengah individu mungkin dialami kesan jangka panjang atau kekal.
Kaedah rangsangan otak bukan invasif seperti tDCS (Rangsangan Arus Terus Transkranial – Transcranial Direct Current Stimulation) dan rTMS (Rangsangan Magnetik Transkranial Berulang – Repetitive Transcranial Magnetic Stimulation) menunjukkan potensi untuk meningkatkan fungsi kognitif pada pesakit KOT, terutamanya apabila digunakan pada korteks prefrontal dorsolateral kiri (DLPFC). Walau bagaimanapun, bukti terkini adalah terhad dan disandarkan berdasarkan bilangan kajian yang sedikit, lantas memerlukan penyelidikan lanjut untuk kesimpulan yang lebih kukuh.
Cegah KOT dengan Langkah Mudah
Dr. Johan menekankan, “Berdasarkan pengalaman saya, punca utama KOT ialah tidak memakai tali pinggang keledar dan menunggang motosikal tanpa topi keledar. Kemalangan yang berlaku pada kelajuan 20 kilometer sejam ke atas motosikal atau kereta yang tidak menggunakan tali pinggang keledar juga boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk. Ia tidak hanya mengenai kelajuan, tetapi tentang perlindungan yang tidak mencukupi.”
Tambah Dr. Johan, “Walaupun kemalangan jalan raya tidak dapat dielakkan sepenuhnya, langkah-langkah pencegahan seperti memakai topi keledar dan peralatan pelindungan, menggunakan tali pinggang keledar, memastikan persekitaran yang selamat, serta mengelakkan tingkah laku berisiko seperti memandu dengan cuai dan melanggar lampu isyarat. Perbuatan ini mampu mengurangkan risiko kecederaan kepala dan mengakibatkan perbezaan yang signifikan. Selain itu, dapatkan bantuan dengan segera jika anda mengesyaki mengalami kecederaan kepala. Semakin lama isu ini dibiarkan, semakin besar impaknya kepada masyarakat.”
Baru-baru ini SMC telah dinobatkan sebagai antara 75 Hospital Pakar Neurologi Terbaik di Asia Pasifik 2024 oleh Newsweek, sekali gus mencatatkan prestasi cemerlang untuk tahun kedua berturut-turut. Selain itu, hospital ini juga menerima Anugerah Emas Angels Pertubuhan Strok Dunia (WSO) pada suku pertama tahun 2024, di mana hospital ini telah memenangi anugerah ini untuk kali ke-14 berturut-turut.
SMC juga merupakan pusat perubatan swasta pertama di Lembah Klang yang menerima anugerah ini pada suku keempat tahun 2020. Unit Kecemasan & Kecederaan SMC juga dilengkapi dengan penjagaan pesakit luar dan dalam yang canggih, perkhidmatan kecemasan 24 jam, serta unit Kecemasan Kanak-Kanak pertama di hospital swasta Malaysia, membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam penjagaan pesakit dan inovasi.