Pep Guardiola, Isteri Didakwa Berpisah
Pengurus sensasi Manchester City, Pep Guardiola didakwa telah berpisah dengan isterinya selepas 30 tahun hidup bersama.
Menurut laporan portal berita berpangkalan di Barcelona, Sport, Pep dan isterinya Christina mengambil keputusan tersebut pada Disember lepas ketika kedua-duanya berada di Sepanyol.
Walaupun begitu, hubungan mereka dikatakan masih “akrab, stabil dan bersahabat” biarpun sudah memilih haluan hidup masing-masing.
Portal itu juga mendakwa bahawa pasangan tersebut sudah tinggal berasingan hampir lima tahun sejak Christina mengambil keputusan pulang ke Sepanyol.
Difahamkan, keputusan yang diambil ketika itu kerana Christina mahu memberi tumpuan kepada perniagaan fesyen keluarga yang diusahakan di Barcelona.
30 tahun hidup bersama, Pep Guardiola dan isteri didakwa sudah berpisah
Baaimanapun, Christina dikatakan kerap berulang-alik antara Sepanyol-England termasuk untuk meluangkan masa dengan pengurus yang sudah pun memenangi lima gelaran EPL itu.
Setakat ini, Manchester City enggan memberi sebarang komen terhadap laporan berkenaan status perkahwinan Pep yang sedang menjadi tular di media sosial.
Menurut The Sun, Pep mula berkenalan dengan Christina selepas beliau berkunjung ke kedai pakaian milik keluarga wanita itu, Serra Claret, pada usia 18 tahun.
Ketika itu, Pep dilaporkan sedang melaksanakan tugas peragaan untuk pereka fesyen, Antonio Miro di kedai tersebut.
Sejak itu, mereka dikatakan kerap meluangkan masa bersama dan mula menjalin hubungan intim.
Walaupun berkenalan ketika masing-masing masih remaja, Pep dan Christina hanya berkahwin pada 2014 dalam satu majlis sederhana di Catalonia.
Menyentuh tentang isterinya, Pep pernah berkongsi bahawa wanita itu memainkan peranan penting dalam menentukan fesyen yang digayakan oleh beliau setiap hari.
Menurut Pep, banyak pakaiannya berasal daripada stor Serra Claret yang mempamerkan pelbagai jenama seperti Dsquared2, CP Company dan Armani.
Ikut cakap isteri dalam soal fesyen
“Isteri saya terbaik di dunia dalam banyak perkara, lebih-lebih lagi dalam hal fesyen. Jadi, biasanya dia yang memberitahu saya ”jangan pakai yang ini, pakai yang itu” dan saya ikut sahaja.
“Saya seorang cukup bijak untuk mengakui jika ada orang yang lebih pandai dalam bidangnya dan memberi nasihat, ikut sahaja nasihatnya,” kata Pep ketika ditemu bual dalam rancangan Men In Blazers.
Pep dan Christina mempunyai tiga cahaya mata iaitu Maria, Marius dan Valentina. Maria, 24, anak sulung mereka kini merupakan seorang model dan memiliki lebih 900,000 pengikut di Instagram.
Manakala Marius, 22, menetap di Dubai dan memiliki tiga perniagaan di sana. Anak bongsu mereka, Valentina, 17, pula sedang menyambung pengajian.
https://www.facebook.com/fabrizioromanoherewego/posts/pfbid02bBL4GApGtKHcZYBWorMUvXM3fk7upzmjSFfvj2B6U6tmYRPSAx4HDfACy5zTqgMdl
BACA: Polis Berhak Periksa Telefon Orang Awam Jika Ada Syak Wasangka Munasabah – Razarudin
Sumber: The Sun