Terkenal Sebagai Negeri Adat Perpatih, Kenali 11 YDPB Negeri Sembilan
Seperti yang diketahui, Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen untuk mentadbir negara.
Setiap negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk Malaysia ditadbir oleh pemerintah tertinggi iaitu Sultan atau dipanggil Raja.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negeri yang tidak menggunakan gelaran Sultan atau Raja seperti negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih, Negeri Sembilan.
Yang di-Pertuan Besar (YDPB) merupakan gelaran yang diguna pakai dalam sistem pemerintahan di Negeri Sembilan.
Menarik bukan?
Bersempena dengan hari Keputeraan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan hari ini, 14 Januari, jom SK kongsikan latar belakang YDPB Negeri Sembilan yang pernah memerintah negeri adat perpatih ini.
Senarai 11 YDPB Negeri Sembilan & Tempoh Pemerintahan
1. Raja Melewar (1773-1795)
Figura pertama yang bergelar YDPB Negeri Sembilan adalah Almarhum Raja Melewar ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil.
Ditabalkan pada tahun 1773, perjalanan Raja Melewar penuh dengan liku susulan mendapat pelbagai tentangan.
Ia termasuklah Raja Khatib yang merupakan utusan kepada Raja Pagar Ruyong untuk menyambut ketibaan Raja Melewar.
Bagaimanapun, Raja Khatib telah belot dan mengakui bahawa dirinya sebagai Raja.
Namun, Raja Melewar secara rasmi tetapmenjadi YDPB Negeri Sembilan pertama dan memerintah selama 22 tahun.
Baginda mangkat pada tahun 1795 di Seri Menanti.
2. Raja Hitam (1795-1808)
Setelah kemangkatan Raja Melewar, mana-mana putera dan puterinya tidak diangkat sebagai pemerintah negeri itu oleh Pemegang Adat (Pemegang Undang-undang).
Sebaliknya, Raja Pagar Ruyong sekali lagi menghantar utusan, seorang puteranya yang bernama Raja Hitam untuk ditabalkan sebagai YDPB atau Yamtuan.
Raja Hitam sempat menjadi Yamtuan dan memerintah selama 13 tahun.
3. Raja Lenggang (1808-1824)
Seperti pemilihan Raja Hitam sebagai Yamtuan, putera dan puterinya juga tidak dipilih sebagai penerusnya.
Pemegang Adat Negeri Sembilan pada ketika itu sekali lagi memohon seorang anak raja daripada Raja Pagar Ruyong untuk diutuskan ke negeri itu.
Oleh itu, Raja Lenggang terus ditabalkan sebaik sahaja baginda tiba di Rembau dan bersemayam di Seri Menanti selama 16 tahun.
Bagaimanapun, sebelum baginda mangkat pada 1824, Raja Lenggang sempat meninggalkan wasiat supaya putera baginda, Tengku Radin, diangkat sebagai Yamtuan seterusnya. Langkah ini bagi menggantikan tempat baginda sebagai Yamtuan Negeri Sembilan seterusnya.
4. Yamtuan Radin (1824-1861)
Selepas itu, Yamtuan Radin mengambil alih tugas sebagai YDPB Negeri Sembilan.
Menariknya, Yamtuan Radin antara pemerintah negeri itu yang memegang tapak pemerintahan paling lama, sekitar 37 tahun.
Difahamkan, baginda merupakan Raja pertama Negeri Sembilan (dilahirkan di Negeri Sembilan) yang dilantik oleh para Pemegang Adat dan Undang.
Yamtuan Radin mangkat pada tahun 1861 di Seri Menanti.
5. Yamtuan Imam (1861-1869)
Legasi pemerintahan Negeri Sembilan diteruskan Yang di-pertuan Imam sebagai Yamtuan negeri itu di Seri Menanti.
Walaupun hanya lapan tahun bergelar Yamtuan, namun baginda meninggalkan salah satu istana tertua yang pernah dibina, Istana Ampang Tinggi.
Istana ini mempunyai seni ukir awan berarak yang diukir oleh beberapa tukang ukir Melayu.
Kini, Istana Ampang Tinggi telah dirobohkan dan dibina semula di Kompleks Budaya Negeri Sembilan.

6. Yamtuan Antah (1869-1888)
Selepas kematian Yamtuan Iman, anak baginda, Tengku Ahmad Tunggal tidak ditabalkan sebagai Yamtuan berikutnya kerana kelakuannya yang tidak disukai oleh penghulu-penghulu Luak dan orang-orang besar Negeri Sembilan.
Selama tiga tahun, isteri Yamtuan Iman memegang takhta sebelum Tengku Antah ditabalkan sebagai pemerintah ke-6 Negeri Sembilan.
Selama baginda memerintah, berlaku pelbagai peristiwa menyedihkan termasuklah Negeri Sembilan terpaksa menerima penasihat dari Inggeris.
Baginda memerintah selama 19 tahun sehingga tahun 1888 sebelum mangkat.
7. Tuanku Muhammad (1888-1933)

Selepas kemangkatan Tengku Antah, Tuanku Muhammad ditabalkan sebagai pemerintah ke-7, selepas mendapat kesepakatan daripada kalangan pemimpin seperti penghulu berenam, Johol, Jempol Inas, Terachi dan Gunung Pasir.
Baginda merupakan pemerintah paling lama berbanding YDPB, iaitu selama 45 tahun. Tuanku Muhammad mangkat pada tahun 1933.
8. Tuanku Abdul Rahman (1933-1960)

YDPB Negeri Sembilan seterusnya adalah Tuanku Abdul Rahman, dilantik sejurus kemangkatan Tuanku Muhammad.
Baginda memainkan peranan penting dalam pembentukan sistem Raja Berperlembagaan pada ketika itu. Baginda mangkat pada tahun 1 April 1960.
9. Tuanku Munawir (1960-1967)

Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan YDPB Negeri Sembilan yang ke-9.
Putera sulung kepada YDPB Tuanku Abdul Rahman itu memegang jawatan selama tujuh tahun.
Walaupun zaman pemerintahan yang singkat, Tuanku Munawir telah meneruskan usaha dalam pemodenan Negeri Sembilan selain menggalakkan pendidikan dan pembangunan dalam negeri
Baginda mangkat pada April 1967 disebabkan masalah kesihatan.
10. Tuanku Ja’afar (1967-2008)

Istimewanya YDPB Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Ja’afar turut menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Agong (YDPA) Malaysia ke-10.
Baginda banyak memberikan sumbangan terhadap Negeri Sembilan dari aspek pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur sepanjang 41 tempoh pemerintahan.
Baginda mangkat pada usia 86 tahun, 27 Disember 2008.
11. Tuanku Muhriz (2008-kini)

YDPB Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz kini masih menjawat jawatan tersebut sehingga kini.
Pelbagai sumbangan yang telah dilakukan oleh baginda terhadap ekonomi negeri itu agar berkembang pesat termasuk dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pendidikan.
Buktinya, Negeri Sembilan berstatus negeri sifar kemiskinan.
Bahkan, budaya dan adat dalam kalangan masyarakat masih kekal terpelihara hingga ke hari ini.
Sumber: Malay Civilization, Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan, Majlis Keselamatan Negara,