Siakap Keli
perlesenan media sosial
Kredit: Siakap Keli

Ini Senarai Platform Media Sosial Terlibat Perlesenan & Kenapa Ada Dua Lagi Tidak Memohon Lesen

Ini Senarai Platform Media Sosial Terlibat Perlesenan & Kenapa Ada Dua Lagi Tidak Memohon Lesen

Seperti diketahui umum, platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon lesen kelas pemberian perkhidmatan aplikasi di bawah Akta Komunikasi & Multimedia 1998 bermula pada 1 Januari 2025.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat lapan platform media sosial yang terlibat dalam pelesenan media sosial ini. Antara platform yang dimaksudkan adalah Facebook, Instagram. TikTok, X, Telegram, WeChat, Whatsapp dan Youtube.

Setakat data yang dikeluarkan oleh MCMC pada 1 Januari 2025 di halaman Facebook rasminya, terdapat dua platform yang telahpun dilesenkan di Malaysia iaitu WeChat dan TikTok. Walau bagaimanapun, melalui kemaskini terbaru, platform Telegram juga sudah dilesenkan menjadikan setakat ini tiga platform sudah berjaya dilesenkan.

perlesenan media sosial

Manakala bagi Facebook, Instagram dan Whatsapp di bawah META, proses pelesenan ketiga-ketiga platform ini masih lagi berjalan dan dijangka akan dilesenkan dalam masa terdekat.

Namun, sedar tak ada dua lagi platform yang tidak disenaraikan sebagai telah dilesenkan atau dalam proses? Ia membawa maksud kedua-dua platform itu tidak memohon lesen mengikut data dikeluarkan pada 1 Januari 2025.

Untuk pengetahuan, platform yang dimaksudkan adalah X dan Youtube. Kenapa dua platform ini tidak memohon lesen?

Menurut perkongsian MCMC, X melaporkan jumlah penggunanya tidak mencapai lapan juta di negara ini dan MCMC juga sedang membuat semakan jumlah pengguna berdasarkan laporan.

Bagi platform YouTube pula, MCMC sedang memastikan ciri dan klasifikasi perkongsian video YouTube di bawah Kerangka Pelesenan.

Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, mereka sedang mengadakan perbincangan kerana ada yang mengeluarkan pandangan bahawa YouTube bukan media sosial.

“Undang-undang masih berkuat kuasa dan cuma kita sedang meneruskan perbincangan kerana YouTube, mereka ada pandangan yang mereka ini bukan media sosial, tapi kalau kita lihat ‘Youtube Shorts’, elemen-elemen dalam ‘Youtube Shorts’ itu mirip TikTok dan inilah perkara-perkara yang sedang kita bincang dan ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Kenapa pelesenan media sosial sangat penting untuk pengguna? Menerusi pelesenan itu kerajaan dapat mengurangkan penyebaran maklumat dan berita palsu yang sering mencetuskan panik serta ketidakstabilan sosial. Lagipula, menerusi perlesenan platform media sosial ini akan dapat mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat digunakan oleh semua rakyat Malaysia.

Kerajaan tidak berkompromi soal keselamatan rakyat dalam Internet

Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, keselamatan dalam talian menjadi isu utama yang memerlukan perhatian serius. Memikirkan keadaan hal itu, kerajaan meletakkan keselamatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan tanpa kompromi.

Bahkan, pengguna media sosial juga berasa lebih selamat untuk menggunakan mana-mana platform yang telah dilesenkan oleh kerajaan dan MCMC.

Kesemua ini membuktikan bahawa jenayah siber bukanlah isu kecil. Ia adalah ancaman serius yang memerlukan kerjasama dari semua pihak, termasuk kerajaan, platform digital, dan masyarakat, untuk membentuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Menurut temubual kami kepada beberapa individu yang ditemui, ada yang meluahkan rasa lega dengan pelaksanaan pelesenan media sosial. Ini kerana mereka mengatakan sudah tiba masanya untuk mewujudkan ekosistem media sosial yang paling selamat.

“Hak untuk bersuara adalah penting bagi semua orang tetapi ia perlu dijaga dan perlu mempunyai had agar tidak menimbulkan sebarang provokasi. Tanpa kawalan, pengguna boleh melakukan dan berkata apa sahaja sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Adakala segelintir pengguna bertindak agresif bila dalam talian, malah bersikap lantang ketika menyampaikan pendapat dan hujah sehingga mengetepikan rasional serta adab yang membawa kesan buruk.

“Setiap platform media sosial akan dipertanggungjawabkan dalam platform mereka, jadi pengguna perlu berhati-hati dengan kata-kata mereka jika tidak mahu diambil tindakan,” katanya.

perlesenan media sosial
Kredit: Siakap Keli

Dulu lakukan jenayah di jalanan, sekarang boleh buat jenayah di bilik tidur melalui peranti

Jika dahulu jenayah berlaku di jalanan dengan bentuk fizikal seperti rompakan dan serangan, kini jenayah telah berpindah ke alam maya, menjadikannya lebih halus tetapi jauh lebih meluas ke bilik tidur melalui peranti.

Janganlah kita menganggap bahawa jenayah siber ini adalah isu kecil. Penghinaan, ancaman, dan penyebaran fitnah di media sosial bukan sahaja merosakkan reputasi individu tetapi juga meninggalkan trauma jangka panjang.

Banyak kes jenayah siber telah dilaporkan, jadi kita dapat simpulkan bahawa keselamatan siber bukan lagi pilihan, namun satu keperluan.

Ramai menganggap kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara

Dengan mengambil tindakan terhadap platform yang cuai dan mewajibkan pemantauan kandungan yang lebih ketat, kerajaan berusaha melindungi semua pengguna termasuk kanak-kanak dan kumpulan rentan menerusi keselamatan internet.

Bagaimanapun, terdapat ‘khabar angin’ yang mengatakan segala yang diusahakan oleh kerajaan ini hanya taktik yang bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.

Ternyata, ianya sangat bercanggah kerana usaha tersebut untuk buatkan platform lebih bertanggungjawab. Sekiranya pengguna tidak melanggar polisi, peraturan ataupun menyentuh isu sensitif, pengguna tidak perlu khuatir kerana tiada sekatan yang akan dilakukan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial pertama menerima ASP © dan diikuti ByteDance (TikTok).

Bagi pelesenan Google, beliau telah meminta MCMC meneruskan libat urus serta memaklumkan bahawa tindakan tetap diteruskan sekiranya terdapat perkara yang melanggar undang-undang komunikasi.

“Contohnya seperti video scam dan deepfake ataupun judi dalam talian yang dimainkan dalam Youtube, tindakan boleh diambil terhadap ketidakpatuhan dan pelanggaran undang-undang dalam negara kita”.

Namun, usaha untuk mewujudkan ekosistem internet yang selamat janganlah terhenti setakat kerajaan sahaja, namun semua orang sepatutnya perlu memikul tanggungjawab itu bersama untuk memastikan kadar jenayah atau pelanggaran polisi sosial media tidak dilakukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelesenan media sosial ini, anda boleh layari laman web Pejabat Perdana Menteri dan MCMC.

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.