Tiga Maut Dalam Nahas Empat Kenderaan
Tiga individu dilaporkan maut manakala enam lagi parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan pada kira-kira jam 5.50 pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku di kilometer 226.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Pedas Linggi, di Rembau.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, dua mangsa terkorban di tempat kejadian. Manakala, seorang lagi mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Mangsa yang terkorban ialah pemandu lori, Mohd Esa Daharin, 73, kelindan lori warga Bangladesh, Md Usuf Ali, 44, serta pelajar Kolej Sunway di Kuala Lumpur, Terence Ng Zhi Yang, 21.
“Kemalangan membabitkan lori membawa muatan tanah dan bunga dinaiki tiga individu, kereta jenis Honda City, kereta jenis BMW, dan sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki warga Myanmar.

“Siasatan awal mendapati, lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya itu dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang telah hilang kawalan dan melanggar besi penghadang sebelah kanan jalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa nahas terbabit melibatkan Honda City yang datang dari arah belakang dan memandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar lori berkenaan.
“Manakala kereta jenis BMW dan Toyota Vios yang juga datang dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu berlanggar secara berturutan.


“Kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” kata beliau lagi.
Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, orang ramai yang memiliki maklumat mengenai insiden terbabit untuk menghubungi Pegawai Penyiasat K Kaveearassu di talian 011-21581473.
BACA: Lima Keluarga Hilang Tempat Tinggal Akibat Ombak Besar
BACA: Warga Malaysia Antara Yang Cedera Insiden Letupan Bom Berhampiran Balai Polis
BACA: 62 Rumah, Masjid Musnah Dalam Kebakaran
Sumber: Astro Awani