Ini Spesies Haiwan Dipercayai ‘Sengaja’ Bakar Hutan
Kebakaran hutan bukan sahaja merosakkan alam semula jadi, malah boleh mengancam nyawa jika tidak segera dikawal.
Apabila kejadian ini berlaku, kebanyakan orang cenderung mengaitkannya dengan kecuaian manusia atau faktor semula jadi seperti panahan petir.
Namun, ramai tidak tahu tentang kewujudan spesies burung pemangsa yang dipercayai ‘sengaja’ menyebabkan kebakaran hutan – “Fire Hawk” atau Helang Api.
Spesies ini merujuk kepada tiga jenis helang utama, iaitu Black Falcon, Whistling Kite dan Brown Falcon.
Uniknya, helang-helang ini memiliki perilaku ‘pelik’, di mana mereka ‘sengaja’ menyebarkan kebakaran hutan untuk mempermudah proses memburu makanan.
Cara Helang Api menyebarkan kebakaran
Para pengkaji mendapati bahawa tiga spesies burung ini menggunakan kayu berapi dari kawasan kebakaran sedia ada untuk memulakan kebakaran baharu di kawasan lain.
Menurut kajian, helang-helang ini akan:
- Mengangkat kayu berapi menggunakan paruh atau cakar.
- Menjatuhkan kayu tersebut di kawasan yang belum terbakar, kadangkala sejauh satu kilometer dari lokasi asal.
Difahamkan, tujuannya adalah untuk memaksa mangsa seperti serangga, reptilia dan haiwan kecil keluar dari tempat persembunyian mereka akibat panas melampau atau asap tebal.
Kemudian, helang-helang ini dipercayai dengan mudah menangkap mangsa yang ‘panik’.
Selain itu, terdapat laporan bahawa mereka juga mengambil bara api dari unggun api perkhemahan manusia untuk memulakan kebakaran di kawasan lain.
Walaupun perilaku unik ini sudah lama diketahui oleh penduduk asli setempat, ia mula menarik perhatian saintifik hanya selepas kajian formal dilakukan pada 2017.
Kajian tersebut mendokumentasikan pengalaman masyarakat asli serta pemerhatian langsung terhadap taktik pemburuan helang-helang ini.
Hasil kajian turut membongkar betapa liciknya helang-helang ini dalam memanfaatkan api sebagai alat pemburuan.
“Kecil api menjadi kawan, besar api menjadi lawan”
Di satu sisi, terdapat pihak yang melihat tindakan helang-helang ini sebagai inisiatif baik dalam mengawal tumbuhan perosak di dalam hutan.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa perilaku mereka ini boleh memberi kesan besar terhadap kebakaran hutan.
Ini kerana mereka bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran berlanjutan lebih lama hasil daripada api yang tersebar ke kawasan baharu.
Malah, kebakaran akan sukar dikawal, memaksa pihak pengurusan kebakaran mengambil langkah lebih proaktif dalam memantau kebakaran mengejut.
BACA: Ini Sebab Kenapa Air Laut Tidak Digunakan Untuk Padam Kebakaran
BACA: Ini Sebab Kebakaran Hutan Boleh Merebak Pantas, Sukar Dikawal
BACA: Ini Lima Kebakaran Terburuk Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah
Sumber: Frick, I Love Nature via TikTok, Mark Bonta (2017), The Wildlife Society, The Nature Conservancy