5 Pertarungan Hebat Paling Dinantikan Peminat UFC
Dalam dunia seni bela diri campuran (MMA), ramai peminat sering mengimpikan perlawanan hebat yang mampu menggegarkan arena sukan ini.
Perlawanan itu jika dilaksanakan didakwa berpotensi mencipta rekod baharu, menarik jutaan penonton, selain menjadi detik bersejarah yang dikenang sepanjang zaman.
Bagaimanapun, tidak semua impian peminat menjadi kenyataan apabila beberapa perlawanan mega gagal direalisasikan atas pelbagai sebab.
Menurut Essentiallysports.com, berikut adalah lima perlawanan epik yang pernah diimpikan oleh peminat Ultimate Fighting Championship (UFC), tetapi malangnya tinggal ‘angan-angan’.
1. Jon Jones vs. Francis Ngannou
Peralihan Jon Jones ke divisi heavyweight UFC pada mulanya menjanjikan pertembungan epik dengan Francis Ngannou.
Perlawanan antara ‘Bones’, yang dianggap sebagai GOAT (Greatest of All Time) MMA, dan Ngannou, yang memiliki kuasa KO luar biasa, adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.
Namun, impian ini mula retak pada 2023 apabila rundingan kontrak Ngannou dengan UFC menemui jalan buntu.
Ngannou akhirnya meninggalkan UFC untuk menyertai Professional Fighters League (PFL), sekali gus memadamkan harapan peminat untuk menyaksikan pertembungan dua jaguh ini.
Walaupun Jon Jones memulakan debut heavyweight yang hebat dengan menewaskan Ciryl Gane di UFC 285, impian untuk menyaksikan ‘The Greatest’ melawan ‘The Scariest’ kekal sebagai kenangan yang tak akan terlaksana.
2. Brock Lesnar vs. Daniel Cormier
Selepas kemenangan Daniel Cormier ke atas Stipe Miocic di UFC 226, Brock Lesnar muncul di Octagon dalam satu momen viral yang mencetuskan harapan peminat untuk melihat dua ikon gusti ini berentap.
Namun, impian itu terkubur apabila Lesnar enggan kembali ke UFC selepas diarahkan memasuki semula program kawalan doping USADA dan menjalani penggantungan.
Cormier menggambarkan situasi ini sebagai peluang besar yang disia-siakan.
Beliau menyatakan kekecewaannya kerana tidak dapat bertemu Lesnar dalam perlawanan yang boleh mengukuhkan lagi legasinya.
Walaupun kedua-dua bintang ini tidak pernah bertarung, detik mereka bersemuka kekal sebagai salah satu momen paling ikonik dalam sejarah UFC.
3. Khabib Nurmagomedov vs. Tony Ferguson
Kisah Khabib Nurmagomedov dan Tony Ferguson mungkin adalah yang ‘paling tragis’ dalam sejarah UFC.
Perlawanan ini telah dijadualkan sebanyak lima kali antara 2015 hingga 2020 tetapi dibatalkan atas pelbagai sebab, termasuk kecederaan, kesilapan berat badan dan pandemik global.
Gaya pertarungan kedua-dua jaguh ini menjadi sebab utama ‘hype’ peminat.
Dengan Khabib yang terkenal dengan kemampuan gustinya dan Ferguson yang memiliki teknik grappling unik, pertembungan ini pastinya menjanjikan aksi yang mendebarkan.
Namun, selepas Khabib bersara tanpa kalah pada 2020 dan Ferguson mengalami penurunan prestasi drastik, harapan untuk melihat pertarungan ini musnah sepenuhnya.
4. Anderson Silva vs. Georges St-Pierre
Pertemuan antara Anderson Silva dan Georges St-Pierre dianggap sebagai perlawanan ‘super’ yang paling diidam-idamkan dalam sejarah UFC.
Silva, raja divisi middleweight, dan GSP, juara welterweight, adalah nama besar dalam ranking pound-for-pound.
Namun, kedua-dua bintang ini enggan berganjak dari divisi masing-masing, dan idea untuk bertarung di catchweight juga tidak berjaya.
Ketika Silva mula merosot dengan beberapa kekalahan dan GSP bersara selepas menewaskan Michael Bisping, peluang untuk menyaksikan dua legenda ini bertarung di kemuncak karier mereka lenyap begitu sahaja.
Walaupun kedua-dua mereka masih diingati sebagai ikon MMA, persoalan “bagaimana jika mereka berentap” tetap menghantui peminat.
5. Khabib Nurmagomedov vs. Georges St-Pierre
Pertarungan terakhir dalam senarai ini adalah yang paling banyak mencetuskan perbincangan.
Khabib Nurmagomedov, dengan rekod tanpa kalah 29-0, dan Georges St-Pierre, legenda UFC, adalah dua nama yang sering disebut-sebut sebagai ideal untuk perlawanan impian.
Kedua-dua mereka saling menghormati dan menunjukkan minat terhadap pertarungan ini. Namun, masa menjadi musuh terbesar.
Khabib bersara selepas menewaskan Justin Gaethje pada 2020, memegang janji kepada ibunya selepas pemergian bapanya.
GSP, yang sudah lama tidak aktif, memilih untuk tidak kembali bertarung demi menjaga kesihatan dan legasinya.
Dalam pada itu, CEO UFC, Dana White menyatakan bahawa pertarungan ini boleh menjadi acara terbesar dalam sejarah UFC, tetapi bintang-bintang tidak pernah sehaluan untuk menjadikannya kenyataan.
BACA: Nilai Bersih Kekayaan Khabib Nurmagomedov Pada 2025
BACA: Nilai Bersih Kekayaan Islam Makhachev Pada 2025
BACA: Ini Kata Khabib Usai Pertarungan UFC Islam Makhachev, Umar Nurmagomedov
Sumber: Essentiallysports.com