STR Fasa 1 Disalurkan Mulai Esok
Kementerian Kewangan mengumumkan penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mulai 22 Januari. Menerusi siaran media yang dimuat naik di laman Facebook kementerian tersebut, penyaluran sumbangan tersebut akan dilakukan secara berperingkat.
Penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran menerusi pengkreditan terus ke akaun bank. Selain itu, agihan secara tunai juga dilakukan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN). Pembayaran STR ini akan mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Tahun ini, kerajaan telah menaikkan kadar maksimum untuk isi rumah kepada RM4,600 berbanding tahun lalu, RM3,700. Begitu juga bagi kategori bujang, kadar minimum dinaikkan daripada RM500 kepada RM600.
Menurut Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan peruntukan ini membuktikan usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan sebahagian besar rakyat bertambah baik dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan MADANI agar peningkatan sumbangan SARA dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya.
Terdahulu, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 telah mula disalurkan kepada penerima yang layak.
Sumbangan SARA telah dikreditkan melalui MyKad penerima bermula 15 Januari lalu secara berperingkat mengikut kategori penerima. Penyaluran sumbangan ini berterusan setiap bulan sehingga Disember nanti. Jumlah sumbangan juga berbeza mengikut kategori Isi Rumah (STR dan eKasih), Warga Emas Tiada Pasangan (STR dan eKasih), Bujang (STR dan eKasih). Isi Rumah (STR sahaja) dan Warga Emas Tiada Pasangan (STR sahaja) juga termasuk dalam kategori yang ada.
Manakala bagi sumbangan BAP pula, sumbangan telah disalurkan bermula 13 Januari lalu kepada lebih 5.2 juta murid di sekolah rendah dan menengah. Pengagihan sumbangan adalah menerusi serahan tunai kepada ibu bapa bagi murid, pengkreditan terus ke akaun bank murid. Tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan satu lagi kaedah pengagihan sumbangan iaitu secara pengkreditan terus ke akaun bank ibu bapa.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk laman sesawang rasmi Sumbangan Tunai Rahmah dan berwaspada dengan pautan yang tidak sahih bagi merujuk maklumat berkenaan STR.