KUALA LUMPUR, 22 Januari 2025 – Sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini, PETRONAS dengan bangganya mempersembahkan sebuah filem pendek bertajuk ‘Stay’ yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Caleb Huang.
‘Stay’ mengisahkan perjalanan emosi seorang kanak-kanak bernama Xiao Bao yang pada awalnya hanya datang menziarahi saudara-maranya sempena perayaan Tahun Baru Cina. Namun, dalam satu plot twist yang menyayat hati, dia akhirnya tinggal bersama mereka lebih lama selepas ibunya membuat keputusan berat hati untuk meninggalkannya di bawah jagaan keluarga tersebut. Keputusan yang penuh pengorbanan itu dilakukan dengan harapan Xiao Bao dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Namun, sebagai kanak-kanak yang masih kecil dan tidak memahami kesukaran hidup, Xiao Bao tidak dapat menerima keputusan itu dan hanya mampu menangis meminta ibunya untuk tetap tinggal bersamanya.
Perjalanan hidup Xiao Bao dalam filem ini mengimbas semula realiti yang pernah dialami ramai keluarga di Malaysia pada tahun 1980-an. Ketika itu, ramai ibu bapa terpaksa menyerahkan anak-anak mereka kepada saudara-mara yang lebih berkemampuan kerana tekanan ekonomi. Keputusan yang memeritkan itu akhirnya membawa perubahan besar dalam hidup Xiao Bao, dan hanya bertahun-tahun kemudian dia benar-benar memahami pengorbanan ibunya.
Dengan berlatarbelakangkan keindahan kawasan desa di Kuala Selangor, filem ini menonjolkan keindahan alam semula jadi dan keramahan masyarakat pada zaman tersebut.
Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, “‘Stay’ adalah sebuah cerita yang penuh makna, mengingatkan kita tentang nilai-nilai murni seperti empati, kasih sayang, dan semangat saling menjaga antara satu sama lain yang begitu kukuh dalam budaya Malaysia.
“PETRONAS berharap filem ini dapat menginspirasikan seluruh rakyat Malaysia untuk terus memupuk semangat perpaduan dan saling menyokong, sekaligus memperkuatkan ikatan yang membentuk kita sebagai satu bangsa. Kami ingin kisah ini memberi inspirasi agar rakyat terus saling mengangkat dan membantu antara satu sama lain,” tambah beliau.
‘Stay’ adalah filem pertama dalam siri perayaan bertemakan Beyond Those Doors dan akan ditayangkan bermula 22 Januari 2025 di saluran rasmi YouTube dan Facebook PETRONAS.