Kereta Mercedez-Benz Disediakan Antara Terminal Di KLIA
KUALA LUMPUR — Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan bahawa kenderaan dari syarikat automobil mewah Mercedes-Benz Malaysia (MBM) tersedia antara Terminal 1 KLIA dan Bangunan Satelit, petik Astro Awani.
Difahamkan, inisiatif ini merupakan kerjasama strategik kedua-dua syarikat bagi mendefinisikan semula perkhidmatan mewah dan meningkatkan pengalaman pelanggan keseluruhan untuk pelanggan elit.
Bermula 16 Januari 2025, Mercedes-Benz S 580 e Plug-in Hybrid dan Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC elektrik sepenuhnya digunakan terhadap penumpang yang layak untuk Perkhidmatan Pemindahan Terminal Persendirian.
Perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam di lokasi tersebut.
Siapa yang boleh menikmati perkhidmatan ini?

Pelanggan yang membeli kenderaan Mercedes-Benz akan menikmati akses sepanjang tahun ke Perkhidmatan Pemindahan Terminal Persendirian Malaysia Airlines bermula 1 Mac 2025.
Ahli Enrich Platinum dan Gold Malaysia Airlines juga bakal menikmati #MyMercedesRewards iaitu ganjaran khas yang disediakan untuk mereka yang membeli model Mercedes-Benz terpilih, termasuk model elektrik sepenuhnya (all-electric) dan hibrid plug-in.
Selain itu, ahli juga berpeluang terbang ke ke Jerman jika membelli kereta Mercedes-Benz pada tahun 2025. Secara tidak langsung, ia menawarkan pengalaman unik ke dunia Mercedes-Benz kepada pengguna.
BACA: Ini Sebab Kenapa Jersi Pemain Bola Sepak Berubah Dari ‘Baggy’ Kepada ‘Fit’
Antara manfaat lain yang boleh dinikmati oleh pelanggan termasuklah menyertai acara eksklusif Enrich Malaysia Airlines, yang memberikan keistimewaan perjalanan dan gaya hidup luar biasa yang mencerminkan perkhidmatan premium.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia berkata matlamat mereka adalah untuk mencipta pengalaman luar biasa yang digelar Mercedes Moments.
Mercedes Moments ini merujuk kepada gabungan elemen teknologi canggih dan keanggunan abadi dalam setiap perjalanan bersama Mercedes-Benz.

“Kerjasama dengan MAG membolehkan kami meningkatkan pengalaman perjalanan mewah untuk pelanggan kami dan ahli Enrich, menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman peribadi yang eksklusif.
“Penarafan kami secara konsisten sebagai jenama automotif mewah paling bernilai dalam Interbrand’s Best Global Brands 2024 mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesetiaan & Perjalanan dari MAG, Philip See juga berpendapat bahawa langkah ini dapat meningkatkan pengalaman perjalanan kepada pelanggan.
“Kerjasama kami dengan Mercedes-Benz Malaysia memastikan ahli Enrich dan penumpang elit menikmati keselesaan premium. Ini menyokong usaha kami untuk meningkatkan tawaran di dalam dan luar pesawat, mengukuhkan perkhidmatan premium Malaysia Airlines.
“Di samping itu, melalui keistimewaan eksklusif, kami berusaha untuk meningkatkan pengalaman Enrich, memastikan perjalanan yang lancar dan berbaloi di luar penerbangan. Kami tetap komited untuk memberikan perkhidmatan luar biasa yang mencerminkan hospitaliti Malaysia,” maklumnya.
Kolaborasi antara MAG dan Mercedes-Benz Malaysia ini mencerminkan komitmen dalam memberikan pengalaman menakjubkan.
Perkara ini sekaligus menetapkan piawaian baharu untuk perkhidmatan premium di rantau ini.
Sumber: Dagang News via Astro AWANI