Pelajar SK Permatang Keledang Raih Emas Di International Robot Olympiad Ke-26 Di Busan, Korea
Kuala Lumpur (22 Januari 2025): SK Permatang Keledang, Pahang, mencipta sejarah apabila tiga pelajarnya memenangpeka akan perkembangan industri dan teknologi.
Matthew Jambai dari SK Permatang Keledang, berusia 12 tahun, juga berkongsi keterujaannya: “Melalui bengkel dan program ini, saya telah belajar membina dan mengawal robot, dan pengalaman ini sangat menyeronokkan. Saya berasa bangga kerana dapat bertanding di pertandingan ini dan saya ingin menjadi seorang guru pada masa depan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dalam bidang robotik.”
Gurunya Mohd Zulkhairi, pula berkata: “Terima kasih kepada Petrosains kerana menganjurkan program Petrosains Tech4All untuk pelajar Orang Asli, saya dapat menyaksikan peningkatan yang luar biasa dari segi keyakinan dan kemahiran pelajar dalam pembelajaran robotik. Saya percaya perjalanan ini akan memberikan inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meminati dalam pendidikan STEM.”
Pertandingan ini juga menyaksikan penyertaan dua lagi pasukan Malaysia yang mewakili SK Kampong Layau (Johor) dan SK Sri Permai (Kelantan). Sebanyak sembilan pelajar orang asli bersaing dalam Junior Creative Category, di mana mereka ditugaskan untuk mencipta dan membentangkan penyelesaian robotik bagi menangani cabaran-cabaran dunia sebenar.
Pertandingan bertaraf antarabangsa ini memberikan peluang kepada peserta-peserta untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui robotik, bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka akan perkembangan industri dan teknologi.
Muhammad Fahrin Ammar, 11 tahun, dari SK Kampong Layau, berasal dari keluarga nelayan dan merupakan anak sulung daripada dua beradik, berkata pengalaman ini telah mengubah hidupnya. “Pada mulanya, saya tidak berminat dengan robotik, tetapi saya mula menyukainya selepas menyertai bengkel Petrosains Tech4All dan program ini. Saya belajar berkomunikasi dengan lebih baik, mengenali kawan baru, dan meningkatkan keyakinan diri. Saya berasa amat gembira kerana dapat mewakili Malaysia buat kali pertama, dan saya berharap ini dapat membanggakan keluarga saya.”
Suzie Kidiee, 11 tahun, dari SK Sri Permai berkongsi bahawa perjalanan robotiknya bermula dengan galakan gurunya untuk menyertai program Petrosains Tech4All. Pada mulanya, dia mendapati pengaturcaraan mencabar, tetapi dia sekarang dapat menguasainya selepas menyertai bengkel tersebut dan Petrosains RBTX Challenge 2024, yang membantunya membuka potensi untuk berinovasi dan mencipta. Teruja untuk bertanding di Korea buat kali pertama, Suzie berkongsi aspirasinya: “Saya ingin menjadi seorang guru untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk berinovasi dan mencapai impian mereka.”
Perjalanan peserta-peserta ini bermula dengan program Petrosains Tech4All, sebuah inisiatif dengan kerjasama Makers@IIUM, yang direka khas untuk memperkenalkan pelajar-pelajar orang asli ataupun peribumi kepada pembelajaran robotik dan STEM melalui aktiviti pembangunan kemahiran secara praktikal.
Pelajar-pelajar tersebut seterusnya menyertai Petrosains RBTX Challenge 2024, di bawah sub-kategori yang baru diperkenalkan tahun lepas, iaitu Inovasi: Budaya Orang Asli & Teknologi. Pertandingan ini mencabar pelajar-pelajar tersebut untuk mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam mencipta penyelesaian lestari.
Berikutan kejayaan mereka dalam Petrosains RBTX Challenge 2024, pasukan tersebut telah menerima jemputan daripada International Robot Olympiad Committee untuk bertanding dalam International Robot Olympiad ke-26.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Ezarisma Azni Mohamad berkata: “Sebagai badan impak sosial PETRONAS, Petrosains amat berbesar hati kerana diberi amanah untuk mendemokrasikan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti kita. Melalui program-program seperti Petrosains RBTX Challenge dan Petrosains Tech4All, kami ingin memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, menggalakkan komuniti kita untuk menerokai dan memanfaatkan peluang-peluang transformasi yang ditawarkan oleh STEM.”
Ezzah Soffia, seorang guru dari SK Kampong Layau berkata: “Saya membantu untuk mempersiapkan pelajar dalam pengaturcaraan, reka bentuk projek, dan pengucapan awam untuk membina keyakinan mereka dalam membuat pembentangan projek. Kanak-kanak ini jarang keluar dari komuniti mereka, jadi pendedahan kepada budaya dan pengalaman baru ini sangat berharga. Melihat mereka bertanding di peringkat dunia adalah peristiwa yang akan saya hargai selamanya.”
Najmuddin Jaafar, seorang guru dari SK Sri Permai berkata, “Impak terbesar adalah dapat memupuk kreativiti dan mengembangkan idea pelajar-pelajar. Sebagai seorang guru, ini adalah salah satu pencapaian terbesar saya kerana telah mencungkil bakat bagi memastikan pelajar-pelajar kita berjaya.”
Pelajar-pelajar tersebut berlepas ke Busan dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Januari 2025. Penghantaran tersebut dipenuhi dengan sorakan dan galakan daripada ahli keluarga, guru-guru dan penyokong-penyokong ketika pasukan-pasukan tersebut berlepas untuk bersaing di Busan Exhibition and Convention Center (BEXCO).