Program Harapan Kasih PTPTN Bantu Pelajar Asnaf MRSM
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada hari ini melalui Program Harapan Kasih telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar yang telah dipilih sebagai anak angkat PTPTN di bawah Skim Anak Angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM). Program Harapan Kasih yang berkonsepkan ziarah dan ramah mesra merupakan salah satu program kemasyarakatan PTPTN bertujuan memberi motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri dan keluarga.
2. Sumbangan bantuan persekolahan dan simpanan dalam Simpan SSPN Prime telah disampaikan oleh YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBrs. Encik Zainal Rashid Zakaria, Pengarah Kanan YPM dan YBrs. Encik Mohd Zamzuri bin Md Noor, Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau. Majlis penyerahan telah diadakan di kediaman anak angkat saudari Anis Nur Fatihah binti Ahmad Syahid di Kangar, Perlis.
3. Saudari Anis Nur Fatihah binti Ahmad Syahid, 15 tahun merupakan pelajar MRSM Arau, Perlis. Pelajar ini adalah salah seorang yang terpilih menerima penajaan elaun persekolahan secara bulanan sebanyak RM100 selama lima (5) tahun melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000. Manakala sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara one off turut diberikan berjumlah RM200. Selain itu, pelajar turut menerima sebuah peranti untuk memudahkan pembelajaran beliau dan bakul makanan berupa barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga ini. Dalam pada itu, YPM juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan bakul makanan pada program yang sama.

4. Melalui Skim Anak Angkat YPM, PTPTN telah memberi penajaan elaun persekolahan dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime secara one off kepada 50 orang anak angkat terpilih dalam kategori asnaf yang berumur 13 tahun selama lima (5) tahun mulai tahun 2022 hingga tahun 2028 bagi persekolahan Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. Penajaan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM370,000 melalui zakat PTPTN di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
5. Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, “Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program kemasyarakatan bagi meringankan beban dan membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya. Pada hari ini tumpuan kami adalah untuk memastikan pelajar kategori asnaf dapat meneruskan pengajian mereka dengan bantuan sumbangan daripada PTPTN. Diharapkan melalui program ini masalah keciciran persekolahan akibat kemiskinan dapat dikurangkan melalui akses pendidikan yang sama rata.”
6. “PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama YPM dan MAIPs bagi menjayakan program pada hari ini. PTPTN juga turut mengalu-alukan dan proaktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan program-program CSR untuk memastikan bantuan yang diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan sasar,” tambah beliau lagi.
7. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.