Siakap Keli
Great British Circus Bawa 'London Musical Show' Ke Pulau Pinang Dengan Sentuhan Amal
Gambar Hiasan

Great British Circus Bawa ‘London Musical Show’ Ke Pulau Pinang Dengan Sentuhan Amal

Great British Circus Bawa ‘London Musical Show’ Ke Pulau Pinang Dengan Sentuhan Amal

SEBERANG PERAI, 23 JANUARI 2025 Malam gala perdana pertunjukan bertaraf dunia, London Musical Show oleh Great British Circus telah berlangsung dengan meriah di Auto-City, Juru, Pulau Pinang. Majlis perasmian disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim.

Great British Circus, sebuah produksi antarabangsa dari United Kingdom, telah memukau rakyat Malaysia dengan persembahan bertaraf dunia selama lebih 10 tahun. Tahun ini, mereka kembali ke Pulau Pinang dengan produksi baharu yang diberi nama London Musical Show, yang menggabungkan elemen teater muzikal dengan kehebatan aksi sarkas. Pertunjukan eksklusif ini hanya berlangsung di dua lokasi, iaitu Desa ParkCity, Kuala Lumpur dan Auto-City, Juru, menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi terakhir.

“Great British Circus telah menjadi nama ikonik di Malaysia selama sedekad, menghiburkan komuniti kita dengan persembahan bertaraf dunia. Kami berbesar hati kerana Pulau Pinang dipilih sebagai salah satu daripada dua lokasi eksklusif untuk produksi hebat ini. Acara ini pastinya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama untuk kecemerlangan budaya dan seni, sekaligus mencerminkan reputasi negeri kita yang semakin berkembang sebagai destinasi budaya terkemuka,” kata Lim dalam ucapan perasmiannya.

Para penonton disajikan dengan aksi baharu oleh artis dari UK dan Kanada, lengkap dengan muzik dan tarian yang membuatkan semua yang hadir untuk turut menyanyi bersama. Persembahan ini juga dilengkapi dengan khemah yang direka khas, tempat duduk yang dinaik taraf, serta sistem pencahayaan dan bunyi canggih untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada penonton.

Kehadiran penonton bukan sahaja terhad kepada rakyat Malaysia, tetapi juga menarik perhatian ekspatriat dan pelancong dari Jepun, Singapura dan negara-negara lain, menjadikan Pulau Pinang lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan utama, terutamanya semasa musim Tahun Baru Cina dan cuti sekolah.

Dalam semangat Tahun Baharu Cina, Great British Circus turut mengambil inisiatif untuk memberi kembali kepada komuniti dengan menyumbangkan RM2,500 masing-masing kepada dua rumah kebajikan di Pulau Pinang, iaitu Rumah Kanak-Kanak Shan dan Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Seberang Perai Tengah yang disaksikan oleh Lim.

Para penghuni dari kedua-dua rumah kebajikan ini turut dijemput sebagai tetamu istimewa ke tayangan perdana, di mana mereka dapat merasai keajaiban sarkas secara langsung. Kajian juga menunjukkan bahawa persembahan langsung seperti sarkas mampu memberi impak positif kepada golongan belia, termasuk mereka yang mempunyai kondisi perkembangan neuro, dengan menyediakan persekitaran yang menyeronokkan dan merangsang minda.

Memuji inisiatif kebajikan Great British Circus, Lim berkata, “Inisiatif seperti ini mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat yang amat penting dalam pembangunan sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.”

“Dalam usaha kita untuk meningkatkan taraf hidup komuniti yang kurang bernasib baik, kerjasama antara kerajaan, perniagaan, dan organisasi komuniti menjadi semakin penting. Dengan menyumbang kembali kepada masyarakat, kita bersama-sama memperkukuhkan komuniti dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan. Saya berharap lebih banyak organisasi dan perniagaan akan mencontohi langkah yang diambil oleh anda (Great British Circus),” tambahnya lagi.

Tiket untuk London Musical Show boleh didapati secara dalam talian di laman web www.greatbritishcircus.com atau di kaunter tiket di lokasi. Persembahan dijadualkan berlangsung setiap hari dari 11 Januari hingga 16 Februari di Auto-City, Juru, Pulau Pinang. Jangan lepaskan peluang untuk aktiviti keluarga yang sempurna ini bagi meraikan Tahun Baru Cina sambil mencipta kenangan manis.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.