Siakap Keli
ikan ceria
Kredit: CNA

Ikan Kembali Ceria & Sihat Lepas Tengok Gambar Manusia

Sunyi Tiada Pengunjung, Ikan Kembali Ceria & Sihat Lepas Tengok Gambar Manusia

Jepun — Seekor ikan sunfish yang kesunyian kembali pulih apabila gambar manusia dan pakaian seragam pekerja dilekatkan pada cermin dinding tangkinya, lapor CNA.

Mambo, ikan sunfish di sebuah akuarium Jepun jatuh sakit apabila pusat akuarium tersebut ditutup buat sementara waktu pada Disember lalu. Pusat akuarium di Shimonoseki, Kaikyokan itu ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian.

Ketika menyedari kesihatan ikan sunfish yang diberi nama Mambo itu semakin merudum, pekerja pusat itu mengesyaki kemungkinan ia mengalami  serangan parasit dan ketidakhadaman. Ia berikutan keengganan ikan itu untuk memakan obor-obor dan mula menggosokkan badannya di dinding tangkinya.

Namun, seorang pekerja mencadangkan kemungkinan ikan tersebut kesunyian disebabkan tiada pelawat yang berkunjung lagi.

BACA: Pelajar SK Permatang Keledang Raih Emas Di International Robot Olympiad Ke-26 Di Busan, Korea

Biarpun pihak pengurusan tidak begitu pasti tentang perkara tersebut, mereka mengambil inisiatif untuk menghias cermin tangki Mambo dengan keratan gambar manusia dan baju seragam pekerja akuarium.

Gambar yang menunjukkan keratan gambar manusia yang dilekatkan pada tangki ikan sunfish itu tular sejurus dikongsi oleh pihak akuarium menerusi akaun Instagram mereka. Bukan itu sahaja, beberapa pakaian seragam turut digantung pada rak pakaian yang diletakkan berhampiran keratan gambar tersebut.

Tanpa disangka, usaha tersebut membuahkan hasil apabila kesihatan Mambo meningkat dengan mendadak pada keesokan harinya.

Jurucakap pusat akuarium itu berkata terdapat kemungkinan kehilangan pengunjung boleh mempengaruhi kesihatan ikan sunfish itu.

“Kami sejujurnya tidak percaya tentang perkara ini, tetapi ikan itu seakan-akan ingin tahu dan selalu mendekati bahagian depan tangki bila pengunjung datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kesihatan ikan itu kembali seperti sedia kala susulan beberapa pemerhatian lanjut dan usaha pekerja di sana melambai kepada Mambo.

Pusat akuarium tersebut dijangka dibuka semula sekitar musim panas tahun ini.

BACA: Permohonan Peguam Mulakan Prosiding Semakan Kehakiman Terhadap MCMC Ditolak Mahkamah Tinggi

Sebagai pengetahuan, Mambo tiba di akuarium Kaiyokan pada Februari 2024. Ketika ia dibawa naik dari perairan wilayah Kochi, ikan tersebut hanya 79.5 sentimeter panjang dan seberat 28 kilogram. Kini, Mambo  semakin membesar.

Saiz sebenar ikan sunfish dewasa, yang juga dipanggil mola mola boleh mencecah sehingga 335 sentimeter dan seberat 2.5 tan.

Setakat ini, jantina ikan sunfish itu masih belum diketahui.

Menurut sumber, spesies omnivor itu boleh hidup sehingga 10 tahun di dalam kurungan.

Biarpun sifat luaran ikan tersebut agak janggal, ia tidak mendatangkan bahaya kepada manusia. Ikan sunfish gemar memakan obor-obor dan kadang kala ikan kecil dan alga turut menjadi makanannya.

Ikan ini jarang ditemui di perairan kerana ia merupakan salah satu spesies yang tersenarai sebagai haiwan terancam senarai merah IUCN.

BACA: Kisah Benar Kejayaan: Inspirasi Mengejar Impian Dan Cita-Cita Sentuhan Unik Syafiq Yusof Dalam Genre Berbeza

Sumber: Channel News Asia (CNA)

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.