Arah Mana Kompas Tunjuk Jika Di Angkasa Lepas? Ini Jawapannya
Di sekolah, kita didedahkan dengan kewujudan sejenis alat yang jarumnya sentiasa menunjuk ke arah Utara mengikut medan magnet Bumi. Itulah dia kompas, alat penunjuk arah mata angin yang digunakan manusia sejak berkurun lamanya. Kompas terawal dikenal pasti wujud ketika zaman Dinasti Han iaitu antara 300 dan 200 Sebelum Masihi.
Ketika itu, kompas diperbuat daripada batu lod, iaitu sejenis mineral bersifat magnet warna hitam dan digunakan sebagai bijih besi. Apabila batu ini digantung menggunakan tali, batu ini secara semula jadinya akan menunjuk ke arah kutub magnetik Bumi.
Jika anda masih ingat, waktu dulu ada juga sejadah yang turut disertakan dengan kompas bagi memandu arah kiblat. Ini tidak bermakna arah kiblat mengikut arah Utara. Namun jika anda dapat mengenal pasti di mana arah Utara, sekali gus anda dapat mengira arah kiblat di Malaysia iaitu 291 darjah hingga 293 darjah.
Bagi anda yang menyertai aktiviti masuk ke hutan, antara perkara asas yang perlu anda tahu ialah mengenal pasti arah Utara. Sama ada dengan melihat arah Matahari terbit atau terbenam, iaitu tanda arah Timur atau Barat, atau juga dengan menggunakan kompas. Pengetahuan asas ini dapat membantu anda mencari jalan ke arah destinasi yang dituju.
Setelah mengetahui serba sedikit berkenaan kompas, mari kita kenali pula ruang magnetosfera Bumi untuk mengetahui arah mana yang kompas akan tunjuk jika dibawa ke angkasa lepas.
Bumi mempunyai medan magnet yang berpaksi kepada dua kutub. Ia terhasil daripada kecondongan paksi Bumi, kelajuan putaran dan pergerakan logam cair dalam teras Bumi.
Jadi jika anda ke angkasa lepas, terdapat satu ruang yang mengelilingi Bumi di mana daya magnet Bumi mendominasi ruang tersebut. Ruang itu dipanggil ruang magnetosfera Bumi. Ia meliputi seluas 23,000 batu ke arah Matahari dan 230,000 batu dari Matahari.
Jika anda membawa kompas tradisional ke ruang angkasa lepas, kemungkinan kompas tersebut tidak dapat digunakan disebabkan batasan pergerakan tiga dimensi yang kompleks. Namun, bagi menjawab persoalan ini, terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi arah jarum kompas.
Jika berada di dalam ruang magnetosfera Bumi, jarum kompas akan tetap tunjuk ke arah kutub magnetik Bumi iaitu Utara.
Manakala jika anda sudah melepasi ruang itu tetapi masih berada di dalam Sistem Suria, jarum kompas berkemungkinan akan menunjuk ke arah medan magnet salah satu daripada dua objek cakerawala.
Seperti yang kita ketahui, bulan juga mempunyai magnetosferanya yang tersendiri. Namun, ia tidak sekuat medan magnet planet Musytari. Medan magnetosfera Musytari mempunyai keluasan kira-kira 12 milion batu di sekeliling planet ini. Ia disebabkan putarannya yang lebih tinggi berbanding Bumi, serta kehadiran lapisan besi hidrogen pada terasnya.
Jadi jarum kompas akan lebih tertarik untuk menunjuk ke arah Musytari berbanding planet lain. Satu lagi objek cakerawala yang berkemungkinan menjadi arah jarum kompas anda ialah Matahari.
Jika anda tidak berada di dalam mana-mana medan magnetosfera planet, jarum kompas akan menunjuk ke arah Matahari, iaitu bintang yang mempunyai medan magnetosfera paling besar dalam Sistem Suria kita.
Bagaimana pula jika anda berada di luar Sistem Suria? Ketika ini, jarum kompas tidak lagi dapat berfungsi disebabkan tiada medan magnet yang dominan di sana.
Itulah jawapan yang dapat SK kongsikan kepada anda berdasarkan fakta-fakta menarik ruang angkasa kita. Semoga bermanfaat.
BACA: Saintis Dedah Gambar Galaksi Bima Sakti Paling Tepat Setakat Ini
Sumber: Mental Floss