Ini Punca Anda Susah Nak Tidur Di Tempat Baharu
Pernahkah terjadi kepada anda, sukar untuk tidur di tempat baharu? Tidak kira sama ada ketika lawatan kerja yang singkat mahupun ketika pulang ke asrama. Beberapa hari pertama berada di tempat baharu pasti membuatkan anda kurang bertenaga disebabkan tidak mendapat tidur yang lena dan berkualiti.
Begitu juga ketika melancong. Menjelajah ke tempat baharu sememangnya membuatkan sesiapa sahaja rasa teruja. Pelbagai perkara dan aktiviti dirancang supaya tidak ada yang tertinggal sepanjang perjalanan.
Namun kadang-kala, keterujaan itu membuatkan anda susah untuk tidur apabila tiba di tempat penginapan. Perkara ini turut membuatkan badan terasa begitu lesu keesokan paginya.
Adakah disebabkan teruja itu anda sukar untuk tidur? Atau adakah disebabkan rasa takut berada di tempat yang tidak diketahui tahap keselamatannya? Atau juga mungkin disebabkan anda rindu dengan keselesaan katil di rumah?
Sebenarnya, kesukaran anda untuk tidur di tempat yang baharu telah diketahui jawapannya oleh para saintis pada 2016. Satu penyelidikan yang dijalankan oleh saintis di Universiti Brown mendapati, punca kepada keadaan yang dipanggil kesan malam pertama ini ialah kewaspadaan yang berterusan.
Ia seperti naluri haiwan yang sentiasa bersedia untuk bertindak balas terhadap bahaya atau ancaman.
Bagi memastikan kemandirian diri, haiwan tidak akan berada di dalam keadaan yang tidak berjaga-jaga selama beberapa jam, contohnya untuk tidur.
Sebagai contoh, beberapa spesies haiwan mempunyai kebolehan untuk tidur dengan sebelah matanya terbuka.
Malah, terdapat juga spesies haiwan yang sebelah otaknya sahaja tidur dalam satu-satu masa seperti ikan lumba-lumba bottlenose, ayam domestik dan ikan paus beluga.
Keadaan separa waspada ini juga didapati ada pada otak manusia. Penyelidikan yang dijalankan terhadap 35 orang sukarelawan menunjukkan otak di bahagian kiri sukarelawan berada dalam keadaan lebih peka terhadap persekitaran. Bahagian ini juga menunjukkan keadaan lebih sensitif terhadap bunyi-bunyi yang aneh, dianggap berpotensi sebagai ancaman.
Seminggu kemudian, bacaan menunjukkan aktiviti yang lebih simetri pada kedua-dua belah otak. Ini menunjukkan para sukarelawan telah terbiasa dengan persekitaran tersebut.
Disebabkan itu, keadaan ini berbeza bagi mereka yang sudah biasa mengembara atau bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Tidur mereka tidak lagi terganggu apabila berada di tempat baharu. Hal ini berikutan otak mereka sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan berada di tempat tersebut.
BACA: Ini Arah Kompas Jika Di Angkasa Lepas
Sumber: Mental Floss