Majlis Malam Gemilang Anjung Bestari@PNM
KUALA LUMPUR, 22 Januari – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah menyempurnakan Majlis Malam Gemilang Anjung Bestari@PNM di Bangunan Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), hari ini. Majlis ini diadakan sebagai simbolik kepada penyerahan Projek Pemusatan Perkhidmatan Perpustakaan daripada tiga (3) bangunan berbeza kepada semua perkhidmatan di bawah satu bumbung (all services under one complex) iaitu di Bangunan Anjung Bestari.
Projek Pemusatan Perkhidmatan Perpustakaan, Perpustakaan Negara Malaysia merupakan projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Kesebelas (RP2, RMKe-11) dengan kos yang diluluskan adalah sebanyak RM12,800,000.00. Antara ruang yang ditambahbaik adalah:
- Ruang bacaan individu dan kolaboratif diperbaharui dengan perabot adaptif dan warna yang lebih ceria.
- Zon siber turut dinaiktaraf dengan 48 komputer dan akses internet berkelajuan tinggi untuk menyokong pembelajaran dan penyelidikan.
- Zon Hipermedia Dewasa dikemas kini untuk menyediakan bahan multimedia interaktif dan hiburan, termasuk perkhidmatan Video on Demand (VOD).
Perkhidmatan Perpustakaan Bestari ini, dilengkapi dengan lima belas (15) tablet bagi mengakses koleksi buku cerita kanak-kanak dan buku Augmented Reality (AR) terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Selain itu, sebanyak dua puluh (20) tablet pintar disediakan untuk mengakses 895,143 kandungan digital tersedia secara percuma daripada 21 pangkalan data u-Pustaka. Terdapat juga lapan (8) tablet pintar disediakan untuk mengakses bahan e-majalah PNM. Sebanyak enam (6) buah komputer riba dan empat (4) buah komputer meja untuk pengguna tersedia di zon kerja.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dalam ucapannya berkata, “Bangunan Anjung Bestari ini adalah simbol kepada konsep Harmoni dalam Kepelbagaian yang menjadi asas kepada Malaysia. Pusat ini juga mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat melalui empat peranan utama: ruang pembelajaran yang inklusif, ruang dialog, pemeliharaan warisan dan budaya serta platform interaksi“. Tambah beliau lagi, dalam era teknologi dan inovasi ini, Perpustakaan Negara Malaysia mesti memainkan peranan lebih strategik dan bersasar untuk memastikan perkhidmatan kekal relevan dengan keperluan semasa.”
Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia telah mengangkat beberapa permohonan kepada Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Antaranya: Pembangunan Ruang Pembelajaran Interaktif dan Imersif di Perpustakaan Kanak-Kanak Perpustakaan Negara Malaysia; Pemerkasaan kandungan digital melalui pendigitan dan konsolidasi kandungan secara efektif; dan perolehan tanah di Bagan Datok Perak untuk rancangan membina Perpustakaan Digital.