KPT Bantu Pelajar Malaysia Daripada Universiti Al-Azhar Yang Terlibat Kemalangan Di Port Said, Mesir
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum akan lapan (8) orang pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam insiden kemalangan kenderaan ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said pada 25 Januari lalu. KPT juga sentiasa mengikuti secara rapat perkembangan situasi ini melalui Kementerian Luar Negeri (KLN).
KPT melalui Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM) memantau perkembangan semasa pelajar yang terlibat. Lima (5) orang pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiga (3) orang pelajar lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT ingin menyatakan sistem pembangunan data yang telah disediakan melalui inisiatif pembangunan sistem MyData@EducationMalaysia4U. Pelajar amat digalakkan untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi Jabatan ini bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.