Siakap Keli
cara dapatkan rawatan mental
Kredit: Orang awam/Bernama

Umur 30 Pun Boleh Terjebak, Wanita Kongsi Cara Dapatkan Rawatan Mental Di Klinik Kesihatan

Umur 30 Pun Boleh Terjebak, Wanita Kongsi Cara Dapatkan Rawatan Mental Di Klinik Kesihatan

Rasa pilu, sedih, hilang minat, tidak bermaya. Hilang minat nak lakukan semua perkara. Rasa seperti ada sahaja yang tak kena. Rasa tidak berguna. Apa yang harus aku lakukan? Dari mana aku patut mendapatkan bantuan?

Anda pernah rasa seperti ini? Atau pernahkah anda dengar keluhan rakan yang seakan-akan begini?

Ketahuilah, anda tidak berseorangan, dan ketahuilah, segala perasaan yang muncul ini legit dan boleh diubati.

Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menganggarkan seramai 1 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas mengalami kemurungan. Tinjauan yang sama turut mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (berumur 5 hingga 15 tahun) adalah 922, 318, iaitu dua kali ganda berbanding 2019.

Golongan belia tidak terkecuali dari mengalami masalah kesihatan mental. Pada tahun 2023, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), melaporkan Indeks Kesihatan Mental Belia (2023) pada skor 71.91 iaitu pada tahap sederhana memuaskan. Kajian yang melibatkan kumpulan sasar belia berumur 15 hingga 30 tahun ini melibatkan domain termasuk persekitaran, minda sihat, sokongan sosial, gaya hidup, keperibadian individu, pengendalian tekanan serta pengalaman hidup dalam kalangan belia di Malaysia.

Ini bermakna, dengan cabaran yang semakin sukar hari ni, tidak kira pelajar mahupun sudah bekerja, kanak-kanak mahupun dewasa, kita masih terdedah dengan risiko masalah kesihatan mental

Bimbang anda mungkin sebahagian dari mereka yang mengalami masalah kesihatan mental? Tidak tahu bagaimana untuk mulakan langkah pertama?

Sebenarnya, perkhidmatan kesihatan mental boleh diakses dari kawasan berhampiran lokaliti. 1,088 Klinik Kesihatan menawarkan perkhidmatan kesihatan mental yang meliputi Perkhidmatan Minda Sihat (termasuk saringan, pengesahan awal dan intervensi), perkhidmatan psikologi dan kaunseling, rawatan penyakit mental, perkhidmatan rawatan susulan, dan rujukan ke hospital.

Ikuti perkongsian seorang wanita yang pernah mendapatkan rawatan kesihatan mental di fasiliti kerajaan:

Panduan mendapatkan rawatan kemurungan di fasiliti kesihatan kerajaan

1. Pergi ke klinik kesihatan (KK) terdekat. Walk in, atau dapatkan temujanji di MySejahtera. Daftar seperti biasa.

2. Beritahu di kaunter pendaftaran, perlukan perkhidmatan kesihatan mental. Jangan risau, kita takkan diasingkan atau dilabel untuk dapatkan perkhidmatan ni.

Dengan izin

3. Sambil tunggu nombor giliran, jururawat akan bagi borang saringan Whooley dan GAD-2. Jawab terus terang. Reflex diri, fikir semula apa yang buat kita cari bantuan.

4. Jumpa doktor di bilik konsultasi. Doktor akan dapatkan cerita selanjutnya untuk fahami apa yang kita sedang hadapi sebenarnya. Sama ada kesihatan mental kita dalam keadaan baik, sedang hadapi masalah kesihatan mental, atau memenuhi diagnosis penyakit mental. Inilah waktu terbaik untuk bincang dengan doktor yang kita jumpa.

Doktor juga akan cuba pastikan simptom kita ni bukan disebabkan masalah kesihatan lain. Jadi, mungkin ada sampel darah yang diambil. Di KK pun boleh dapatkan rawatan mengikut kesesuaian. Ada yang diberikan temu janji berkala dengan doktor di KK, ada yang diberikan temujanji kaunseling. Bukan semua orang perlukan ubat.

Jika perlukan rujukan, kita mungkin dirujuk untuk sesi kaunseling atau diberikan rujukan ke Jabatan Psikiatri di Hospital, atau MENTARI (Pusat Kesihatan Mental Masyarakat). Ini semua perkhidmatan KKM, jadi tak perlu risau tentang bayaran yang mahal. Apa-apa pun, kita masih boleh bincang dengan doktor sekiranya ada tempat yang kita lebih selesa untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik terima rujukan, bawa surat rujukan ke fasiliti tempat kita dirujuk untuk dapatkan tarikh temujanji.

Dengan izin

BACA: Boleh Bawa Maut Jika Tak Dirawat, Ketahui Mengenai Demam Kepialu

Bagaimana pula jika anda berdepan dengan insan terdekat yang mengalami situasi ini? Apa yang boleh anda lakukan untuk membantu perjuangan ini? Apakah cara untuk anda dapatkan rawatan mental bagi mereka?

Bantu mereka segera. Rasa sukar untuk bawa terus secara fizikal ke fasiliti kesihatan? Hubungi Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love), suarakan kebimbangan, atau hubungkan rakan yang memerlukan kepada Pegawai Psikologi (Kaunseling) bertauliah untuk bantuan profesional melalui talian ini.

Tiada istilah terlambat dalam mendapatkan bantuan. Dalam tempoh ini, amat penting bagi pesakit menerima sokongan daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

Hapuskan stigma kesihatan mental. Masalah kesihatan mental dan penyakit mental boleh dirawat. Dapatkan bantuan segera. Melalui program pemulihan yang komprehensif dan sistematik, pesakit mental boleh kembali berfungsi seperti sedia kala.

Menghidapi kemurungan bukan sesuatu yang memalukan, apatah lagi bukan satu petunjuk bahawa seseorang itu mempunyai peribadi yang lemah.

Ingatlah, mereka sebenarnya sedang ‘berjuang’ untuk teruskan hidup.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, UNICEF, MENTARI

 

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.