Ketahui ‘Rahsia’ Di Sebalik 15 Hari Tahun Baharu Cina
Malaysia sememangnya terkenal dengan identiti sebuah negara berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India sebagai kaum majoriti.
Sudah tentu, pelbagai masakan tradisional, adat resam, budaya dan perayaan yang disambut setiap tahun.
Salah satunya sambutan Tahun Baharu Cina, perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina di negara ini bahkan di peringkat global.
Di Malaysia, cuti umum yang diberikan terhadap sambutan perayaan ini adalah selama dua hari. Jadi, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Tahun Baharu Cina sebenarnya diraikan lebih lama, iaitu 15 hari.
Menariknya, setiap hari yang diraikan ini mempunyai aktiviti serta pantang larang berbeza.
Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina ini, SK akan berkongsikan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Cina ketika tempoh perayaan ini di bawah.
Ambang Tahun Baru Cina

Sudah menjadi norma mana-mana masyarakat untuk mengemas dan menghias rumah sebelum musim perayaan tiba.
Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, setiap ahli keluarga akan mengemas dan menghias rumah dengan lebih cantik dan ceria.
Antaranya termasuklah tanglung merah, kuplet pintu berwarna merah, seni kaligrafi tradisional, teh, pokok Kumquat, pokok Bonsai dan banyak lagi.
Menjelang malam perayaan, setiap ahli keluarga akan berkumpul untuk makan bersama sebagai satu simbol keramaian dan kesatuan dalam mengalu-alukan tahun baharu.
Hari Pertama
Umumnya, ahli keluarga berkumpul untuk merayakan tahun baharu. Pelbagai makanan dan manisan dihidangkan seperti tanghulu serta makanan tradisional seperti dumpling dan yee sang.
Selain itu, pelbagai acara yang diadakan seperti bunga api, tarian naga, tarian singa dan pemberian angpau kepada kanak-kanak dan golongan belum berkahwin sebagai simbol keberuntungan.
Menurut tradisi Cina, mereka dilarang menyapu rumah kerana dipercayai mereka akan membuang tuah.
Hari Ke-2
Mengikut tradisi, anak perempuan yang telah berkahwin akan pulang ke rumah ibu bapa, saudara mara dan kawan rapat. Peluang ini diambil untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan selepas sibuk dengan persiapan Tahun Baharu.
Hari Ke-3

Hari ke-3 pula dikenali sebagai “Hari Merah”. Dipercayai hari ini tidak sesuai untuk mengunjungi saudara-mara kerana dipercayai boleh mencetuskan pertengkaran.
Oleh itu, kebanyakan masyarakat Cina memilih untuk berehat di rumah.
Hari Ke-4
Hari ke-4, kebanyakan perniagaan mula menjalankan operasi semula seperti biasa, menandakan makan malam musim bunga bagi ahli korporat.
Bagi yang menganut Taoism, selalunya mereka akan menawarkan makanan serta minuman.
Hari Ke-5
Pada hari ini, masyarakat Cina menyambut hari kelahiran Tuhan Kekayaan.
Masyarakat Cina akan mengadakan upacara dan doa bagi memohon rezeki dan kejayaan dalam perniagaan.
Hari Ke-6
Sementara itu, hari ke-6 pula dikenali sebagai ‘Hari Kuda’ dimana masyarakat Cina dipercayai akan menghalau Hantu Kemiskinan dengan membuang sampah yang terkumpul semasa perayaan.
Kebanyakan perniagaan akan mula beroperasi semula selepas ditutup selama beberapa hari.
Hari ke-6 juga merupakan hari bertuah kepada anak-anak yang memasuki usia 12 tahun.
Hari Ke-7

Hari ke-7 dikenali sebagai “Hari Manusia” atau Renri kerana dipercayai sebagai hari penciptaan manusia menurut mitologi Cina.
Mengikut tradisi, sesetengah orang meraikan dengan memakan yee sang, yang melambangkan kemakmuran.
Hari Ke-8
Pada hari ke-8, masyarakat Cina akan menyambut hari lahir Maharaja Jade selama tiga hari berturut-turut.
Menurut tradisi Cina, hari ini adalah sambutan ambang kelahiran Maharaja Jade.
Hari Ke-9
Hari ke-9 adalah penting bagi masyarakat Hokkien kerana mereka akan bersembahyang kepada Maharaja Jed, dewa tertinggi dalam kepercayaan Taoisme.
Mereka akan membawa lilin, bunga wangi ke sungai atau kolam.
Hari Ke-10 Hingga Hari Ke-14
Hari-hari ini diisi dengan menziarahi rumah saudara-mara, rakan, dan kenalan untuk meneruskan tradisi bersosial serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Pelbagai jamuan dan aktiviti kebudayaan diadakan termasuk persiapan Chap Goh Mei.

Hari Ke-15

Hari terakhir sambutan Tahun Baharu Cina digelar sebagai Chap Goh Mei dengan Pesta Tanglung diadakan sebagai penutup sambutan perayaan ini.
Selain itu, hari ke-15 juga digelar sebagai Hari Kekasih. Pada malam ini, tradisi melontar limau ke dalam sungai diamalkan oleh wanita yang masih bujang sebagai simbol harapan untuk bertemu jodoh.
Sumber: Little day out, Joksing Jai, Nations Online, China Travel, China Highlights