Fadhlina Catat Titah Sultan Ibrahim Dalam Tulisan Jawi
KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mencuri perhatian ramai apabila memaparkan catatannya yang menggunakan tulisan jawi sewaktu titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 yang bermula hari ini.
Beliau berkongsi gambar nota berkenaan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Katanya, ia sebagai usaha kembali mengasah semula tulisan jawi agar tidak lupa.
“Mengasah semula tulisan jawi agar tidak lupa walaupun banyak salah.
“Harap guru kemahiran jawi memaafkan saya yang sedang mencuba mengingat semula bagaimana perkataan jawi dieja dalam tulisan jawi,” selorohnya.
Dalam pada perkembangan lain, Fadhlina turut memaklumkan, titah yang disampaikan oleh Tuanku Sultan Ibrahim sewaktu sesi pembukaan Parlimen tadi sangat mendalam.
“Ringkas tetapi sarat dengan peringatan yang memaknai tugas sebagai ahli parlimen.
“Agenda reformasi pendidikan juga disentuh dengan mandat ia adalah agenda berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Pastinya isu kedaulatan negara menjadi teras titah KBDYM Tuanku, hatta sebesar batu karang sekalipun, ia mesti dipertahankan,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberi respon positif dengan nota yang sempat dihasilkan oleh ahli parlimen itu. Malah, ada yang memuji hasil tulisannya tampak kemas dan cantik.
https://www.facebook.com/fadhlina.datosidek/posts/pfbid02rCwsB1dHsVdKuUoTJqVGJJwMwBxDBDbLwGtY7An6xWLUQ6EX28SeSDyYyaKvm32Jl
Agong Sambut Baik Pendekatan Subsidi Bersasar, Mahu Pengagihan Cekap Dan Berkesan
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyambut baik pendekatan subsidi bersasar oleh Kerajaan MADANI yang berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
Seri Paduka Baginda bagaimanapun mahu agar subsidi bersasar digagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.
Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini, turut mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan, sekali gus berharap ia akan terus dipertingkatkan.
“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
“Namun begitu kerajaan hendaklah menentukan arah prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek