Pelakon Taiwan, Barbie Hsu Meninggal Dunia Pada Usia 48 tahun
Pelakon dan penyanyi Taiwan, Barbie Hsu atau Barbara Hsu dilapor meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat komplikasi influenza, lapor CNA.
Difahamkan, kematian Hsu disahkan oleh adiknya, Dee Hsu, pada pagi Isnin melalui pengurusnya.
“Terima kasih kepada semua atas keprihatinan semua. Semasa cuti Tahun Baharu Cina, seluruh keluarga kami telah mengembara ke Jepun.
“Kakak saya, Xiyuan (Hsu), telah meninggal dunia akibat pneumonia susulan mengalami selesema.
“Saya bersyukur kerana dapat menjadi adiknya, saling menjaga dan menemani antara satu sama lain. Saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya dan merinduinya selama-lamanya.
“Bersemadilah dengan tenang. Saya sentiasa menyayangi, mengingatimu selama-lamanya,” kata Dee Hsu dalam satu kenyataan kepada penyiar Taiwan, TVBS News
Barbie Hsu popular menerusi peranannya sebagai Dong Shancai dalam drama Taiwan Meteor Garden pada tahun 2001, di mana beliau berganding bersama Jerry Yan, Vic Chou, Ken Chu, dan Vanness Wu.
Beliau memulakan kerjayanya bersama adiknya, Dee Hsu, sebagai duo SOS pada tahun 1994. Mereka kemudian mengacarakan rancangan seperti Guess, 100% Entertainment, dan Gourmet Secrets Of The Stars.
Antara drama lain yang dibintanginya termasuk Mars, Corner With Love, dan Summer’s Desire.
Hsu, yang berkahwin dengan penyanyi Korea Selatan DJ Koo, meninggalkan dua orang anak hasil perkahwinannya dengan Wang Xiaofei.
Sumber: CNA