Intel Terbaru: Ejen Ali The Movie Kembali Ke Pawagam & Perkenalkan Lagu Baharu Cuti Sekolah Ini
Kuala Lumpur, 3 Februari 2025 – Primeworks Studios dan Wau Animation dengan bangganya mengumumkan tayangan semula Ejen Ali The Movie di pawagam seluruh Malaysia yang terpilih bermula 6 Februari 2025 ini! Bersiap sedialah untuk menghidupkan semula fenomena luar biasa yang pernah menggegarkan Malaysia, Singapura, dan Brunei pada tahun 2019!
Tayangan semula ini bukan sekadar peluang biasa untuk mengimbas kembali pengembaraan epik Ejen Ali di kota futuristik Cyberaya, kerana peminat bakal berpeluang menikmati kejutan istimewa! Buat pertama kalinya, tayangan kali ini akan menampilkan sedutan eksklusif berdurasi 5 minit dari Ejen Ali The Movie 2! Rasai debaran untuk menyaksikan gambaran pertama, yang akan membawa penonton ke dalam misi baharu penuh cabaran apabila Ejen Ali menyarung mantel Projek Satria – sut perisai baharu yang direka khas untuknya menguasai keempat-empat Teras MATA: Tekno (Teknologi), Neuro (Strategi), Kombat (Seni Pertempuran), dan Inviso (Penyamaran).
Filem animasi penuh aksi, Ejen Ali The Movie, telah mencatatkan rekod luar biasa, apabila meraih lebih daripada RM30 juta dalam tempoh hanya enam minggu, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa. Tahun 2019 malah diangkat sebagai ‘Tahun Animasi Malaysia,’ dengan Ejen Ali The Movie menjadi peneraju utama dan membuktikan bahawa karya tempatan terus menjadi pilihan hati rakyat Malaysia berbanding judul animasi antarabangsa yang popular.
Sejak kemunculannya pada 2016, siri animasi popular Ejen Ali telah berjaya memikat hati penonton dari pelbagai generasi, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di lebih 65 negara, termasuk Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV dan RTV di Indonesia, serta AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara. Dengan jutaan penonton di TV3 dan pengikut setia di YouTube, francais ini mencipta sejarah sebagai IP animasi Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Walt Disney Company Southeast Asia, mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor dalam industri animasi tempatan dan memperluas pengaruhnya di peringkat global.
Diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali The Movie membawa penonton menyelami kisah seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang secara tidak sengaja direkrut sebagai seorang ‘ejen’ untuk organisasi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Dengan tanggungjawab besar untuk melindungi bandar futuristik Cyberaya, Ejen Ali berdepan krisis apabila gajet IRIS-nya dinaik taraf kepada IRIS Neo yang boleh digunakan oleh ejen MATA lain.
Ketika mendapati dirinya bukan lagi satu-satunya ejen istimewa, muncul pula individu misteri yang mendakwa mengetahui rahsia tentang masa lalunya. Ali terpaksa mempersoalkan peranannya dalam MATA dan kesetiaannya terhadap agensi itu turut diuji hebat. Berbekalkan keberanian dan keazaman, dia memulakan misi berbahaya untuk membongkar kebenaran, menghadapi perkara yang tidak diketahui, dan mencari erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang ‘ejen.’
Lebih daripada sekadar nostalgia, ini adalah momen untuk menghidupkan kembali semangat Ejen Ali menjelang pelancaran sekuel yang ditunggu-tunggu, Ejen Ali The Movie 2. Keterujaan terhadap sekuel ini terus memuncak sejak Teaser Rasmi pertamanya diperkenalkan pada September 2024, ditambah lagi dengan debut lagu tema rasminya, “Hanya Kamu”, nyanyian artis ternama Dato’ M Nasir. Lagu pertama daripada album runut bunyi filem yang dijangka bakal meletup ini telah dilancarkan pada 31 Januari 2025 yang lepas dan kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
“Hanya Kamu” merupakan gabungan ikonik antara bunyi muzik elektronik Ejen Ali dengan kehebatan vokal Dato’ M Nasir, yang terkenal melalui koleksi lagu hitsnya dalam pelbagai genre termasuk pop, rock dan irama tradisional Malaysia. Single ini menandakan kemunculan berani Dato’ M Nasir dalam dunia muzik baharu yang ditulis bersama komposer terkenal Azri Yunus dari WAU Animation dengan sumbangan lirik daripada Dato’ M Nasir sendiri. Seiring dengan evolusi Satria Ejen Ali dalam Ejen Ali the Movie 2, lagu ini menjadi seruan penuh semangat untuk generasi muda bangkit menghadapi cabaran dan menjadi versi terbaik diri mereka.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena ini! Saksikan Ejen Ali The Movie di pawagam pada cuti sekolah ini bermula 6 Februari 2025, dan rasai sendiri pengembaraan epik Ejen Ali dalam transformasi, misteri, dan debaran!
Untuk maklumat lanjut mengenai EJEN ALI THE MOVIE 2, sila layari:
- Tiktok : https://www.tiktok.com/@officialejenali
- YouTube: www.youtube.com/ejenali
- Facebook: www.facebook.com/ejenali
- Instagram: www.instagram.com/ejen_ali
- Twitter: www.twitter.com/ejen_ali