Kesuma Meneruskan Inisiatif Kesuma Madani Sempena Thaipusam 2025
Pulau Pinang, 11 Februari 2025 -Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) terus komited dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada para pengunjung Thaipusam melalui inisiatif KESUMA MADANI yang diperkenalkan pada tahun 2024. Program ini telah berjaya dilaksanakan di Kuil Batu Caves dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang, dengan sambutan yang amat menggalakkan.
Berdasarkan kejayaan tahun lalu, KESUMA akan meneruskan inisiatif ini pada tahun 2025 dengan perkhidmatan tambahan serta lebih banyak reruai yang mempamerkan program-program dan inisiatif daripada agensi di bawah KESUMA.
Pada tahun ini, ruang rehat untuk pengunjung Thaipusam akan beroperasi pada Hari Thaipusam, 11 Februari 2025, dari jam 6:00 pagi hingga 6:00 petang di Batu Caves, Kuala Lumpur dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang. Pelbagai aktiviti disediakan oleh KESUMA untuk dimanfaatkan oleh pengunjung.
Dengan ini, terdapat perkhidmatan yang disediakan, salah satunya adalah ruang rehat khas yang selesa bagi 700 pengunjung di Batu Caves, Kuala Lumpur dan 500 pengunjung di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang.
Bagi pengunjung yang menghadiri acara ini, kawasan rehat yang selesa disediakan untuk mereka berehat sebelum dan selepas menjalankan ibadah masing-masing. Kami memahami kepentingan ruang yang selesa dan kondusif untuk mereka mendapatkan ketenangan serta berehat.
Ruang rehat khas juga disediakan kepada petugas barisan hadapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pekerja Alam Flora, serta pihak Majlis Perbandaran yang bertungkus lumus memastikan kelancaran acara ini. Langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat.
Seramai 300 orang sukarelawan wira KESUMA akan ditempatkan di Batu Caves, Kuala Lumpur dan 200 orang sukarelawan di Pulau Pinang untuk membantu pengunjung OKU, warga emas dan melancarkan perjalanan program. Selain itu, PERKESO akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan kepada pengunjung termasuk ujian paras gula, kolesterol, dan tekanan darah.
Ruang khas iaitu bilik penyusuan disediakan untuk ibu menyusu bagi keselesaan mereka. Di samping itu, pengunjung boleh mendapatkan penerangan mengenai SKSSR dan mendaftar di kaunter kerana tersedia Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.
Bukan itu sahaja, malah Khidmat Nasihat Peluang Pekerjaan iaitu MyFutureJobs akan membantu pengunjung yang hadir dengan maklumat peluang pekerjaan dan prospek kerjaya.
Seterusnya, NIOSH akan mempamerkan kursus latihan keselamatan yang boleh memberi manfaat kepada pengunjung. Justeru, diadakan Program Pembangunan Kemahiran iaitu TalentCorp dan Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) akan mempromosikan program MiSI 2.0.
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan membuka pendaftaran untuk kursus TVET di Institut Latihan Perindustrian (ILP) bagi peringkat Persijilan dan Diploma. Makanan dan minuman akan disediakan sepanjang hari seperti roti dan air mineral bagi kemudahan pengunjung.
KESUMA berharap inisiatif ini akan terus memberi manfaat kepada pengunjung Thaipusam serta membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan sosial, peluang pekerjaan, dan pembangunan kemahiran.