Anak Bongsu Zaquan & Ayu Raudhah Meninggal Dunia
Anak bongsu kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha dan pelakon Ayu Raudhah telah meninggal dunia hari ini.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh Zaquan menerusi kiriman di Instagram Story miliknya sebentar tadi.
“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada penciptanya sebentar tadi.
“Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Ayu Raudhah, Rozita Che Wan memaklumkan bahawa anak saudaranya meninggal dunia dalam tidur kira-kira jam 1.00 tengah hari, lapor Berita RTM.
BACA: Umum Bersara, Zaquan Adha Dah Dapat Tawaran Kerja Baharu
“Sedih sangat-sangat. Ayu selalu datang ke rumah untuk tidur bersama, anak Ayu tak pernah menangis, menyusu seperti biasa. Kali terakhir kami berjumpa pada minggu lepas. Sekarang kami berada di Hospital Rembau untuk urusan jenazah,” katanya kepada Berita RTM.
Rozita menerusi Instagram juga meminta pihak media memberi ruang kepada Zaquan dan Ayu untuk menghadapi waktu yang sukar ini.
“Tolong fahami situasi yang sangat sedih ini,” katanya di Instagram Story.
Dia turut berkongsi satu video kenangan ketika memberi susu kepada Muhammad Aisy.
Muhammad Aisy Al Rees telah dilahirkan pada 2 Ogos 2024 dan menjadi buah hati ketujuh buat Zaquan dan Ayu.
BACA: Rindu Nak Berlakon, Ayu Raudhah Dedah Sebab Hilang Dari Dunia Seni
Sejak mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011, mereka turut dikurniakan enam lagi cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia dua tahun.
Terdahulu, keluarga ini mendapat perhatian warganet selepas berkongsi mengenai satu ‘mesyuarat’ untuk pergi bercuti.
Menerusi video yang dimuat naik Zaquan, mereka dilihat duduk semeja dan tekun berbincang mengenai rancangan tersebut.
Warganet turut teruja dan terhibur melihat telatah anak-anak pasangan itu yang mempunyai pelbagai ragam.
https://www.instagram.com/p/DEhqmxuvDOa/
Sumber: Instagram Zaqone_08, Berita RTM