#KaburAjaDulu Trending Di Indonesia, Ramai Berhasrat Nak Berhijrah Ke Negara Lain
Tanda pagar #KaburAjaDulu telah menjadi trending di media sosial Indonesia terutama di laman X sejak beberapa hari lalu.
Memetik Jawa Pos, pengguna media sosial menggunakan tanda pagar itu sebagai protes dan cara mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelbagai dasar di Indonesia.
Ia semakin meluas apabila wujudnya perdebatan mengenai keadaan ekonomi, dasar kerajaan dan cabaran sosial yang dihadapi oleh generasi muda.
Ramai pengguna media sosial mengaitkan trend tersebut dengan keinginan mereka untuk meninggalkan Indonesia dan mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara. Antara negara lain yang menjadi pilihan mereka adalah Singapura, Malaysia, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.
Pada awalnya, tanda pagar tersebut adalah bersifat jenaka sahaja. Tetapi, ia berkembang menjadi sindiran yang lebih serius mengenai keadaan sosio-politik di negara itu.
BACA JUGA: Kes Bunuh Peniaga Wanita: Suspek Direman Tujuh Hari
Ahli akademik dan penyelidik, Fajar Setyaning Dwi Putra berkata ungkapan kabur aja dulu menggambarkan ironi mengenai keadaan orang ramai yang mengalami krisis kepercayaan.
“Ungkapan ini bukan sekadar sindiran, tetapi juga seruan agar pegawai dapat memikul tanggungjawab dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat.
“Fenomena ini mendedahkan perpecahan antara janji politik dengan realiti yang dihadapi oleh masyarakat.
“Di satu pihak, pegawai negeri sering mengeluarkan retorik demi kepentingan rakyat. Namun sebaliknya, pelaksanaannya jauh dari jangkaan. Akibatnya, orang ramai berasa tertipu dan kecewa,” katanya menerusi tulisan di portal Kompas.
Menerusi perkongsian di media sosial, ramai anak muda merasakan masa depan mereka tidak menentu di negara tu.
“Baru nak tular #KaburAjaDulu, saya dari beberapa tahun lepas lagi dah cakap Indonesia semakin huru-hara. Perniagaan semakin tidak sihat, import menggila, gaji tidak naik, kualiti hidup tidak ada. Sebab itu saya buka perniagaan di luar negara,” kata seorang netizen di laman X.
Sementara itu, pemerhati pekerjaan dari Universiti Gadjah Mada (UGM) Tadjudin Nur Effendi mempunyai perspektif yang berbeza mengenai perkara ini.
Menurutnya, dia menganggap fenomena ini sebagai perkara biasa dan tidak bermakna ia menunjukkan kurangnya rasa cinta kepada tanah air.
“Lari bukan bermakna mereka tidak cintakan Indonesia. Mereka berharap nanti apabila keadaan semakin baik, mereka akan pulang semula dan itu boleh berlaku,” katanya kepada Liputan 6.