Batik Air & MHTC Bekerjasama Untuk Memperkukuh Pelancongan Perubatan Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2025 – Batik Air dan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) telah memeterai satu kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di peringkat global.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, dan Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Dr Mohamed Ali Abu Bakar, pada 13 Februari 2025, memanfaatkan rangkaian dan sumber Batik Air bagi menyediakan perjalanan yang lancar untuk pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan di Malaysia.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan global serta memupuk hubungan yang mampan dan saling menguntungkan antara sektor kesihatan dan pelancongan. Dengan menggabungkan kepakaran dalam kedua-dua industri, kolaborasi ini dijangka memberikan pengalaman perjalanan yang luar biasa kepada pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan di Malaysia.
Batik Air akan memanfaatkan rangkaian serantau untuk menawarkan kesalinghubungan yang lancar kepada pelancong perubatan serta menyediakan peluang pengiklanan jenama bersama dan pakej perjalanan eksklusif. Pesakit yang mempunyai bukti janji temu di hospital akan menikmati keutamaan menaiki pesawat, manakala kempen media sosial yang disasarkan akan menyokong inisiatif ini.
Sementara itu, MHTC akan membangunkan bahan promosi dan terlibat dalam inisiatif pemasaran bersama untuk meningkatkan kesedaran global mengenai kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia di Malaysia.
Manfaat untuk Pesakit Antarabangsa:
- Pengalaman perjalanan yang lancar dan bebas kerumitan dengan perkhidmatan sokongan khusus.
- Akses kepada pakej perjalanan eksklusif dan perkhidmatan keutamaan yang direka khas untuk pelancong perubatan.
- Kesalinghubungan yang lebih baik ke penyedia penjagaan kesihatan utama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, menyatakan bahawa kerjasama ini mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan dengan memastikan pesakit antarabangsa mengalami perjalanan yang lancar.
“Pada tahun 2024, industri pelancongan perubatan Malaysia mencatatkan 584,468 ketibaan pelancong kesihatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan Indonesia sebagai penyumbang tertinggi. Melalui rangkaian luas Batik Air, perkhidmatan perubatan dan kesihatan berkualiti di Malaysia akan menjadi lebih mudah diakses,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerjasama ini adalah langkah pertama dalam mempromosikan pelancongan perubatan di seluruh Indonesia, khususnya di destinasi yang kini dilayani oleh Batik Air, termasuk Jakarta, Surabaya, Medan, Bali, Batam, Lombok, Padang, Pekanbaru, Yogyakarta, Makassar, dan Banda Aceh. Selaras dengan Visit Malaysia 2026, inisiatif ini akan terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan.
Datuk Chandran turut menyatakan bahawa Batik Air merancang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama ini dengan memperluaskan ke lebih banyak destinasi, meningkatkan kesalinghubungan, dan memastikan akses yang lebih luas bagi pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Dr Mohamed Ali Abu Bakar, berkata bahawa Batik Air dan MHTC komited terhadap kejayaan jangka panjang serta pengembangan kerjasama ini. Kerjasama ini akan terus berkembang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran pelancongan kesihatan global, memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama bagi pesakit antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut dan merancang perjalanan anda bersama Batik Air, layari www.batikair.com.