Siakap Keli
pemakaian pangkat pegawai kanan maritim malaysia

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Maritim Malaysia: Pengiktirafan, Pengorbanan & Tanggungjawab

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Maritim Malaysia: Pengiktirafan, Pengorbanan & Tanggungjawab

PUTRAJAYA, 20 Februari – Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia hari ini bukan sekadar satu acara rasmi, tetapi simbol pengiktirafan terhadap dedikasi, pengorbanan, dan tanggungjawab pegawai  dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara. 

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah dalam ucapannya menegaskan, pencapaian yang diraikan hari ini bukan hasil usaha individu semata-mata, tetapi turut didorong oleh sokongan padu  daripada keluarga dan rakan setugas. 

pemakaian pangkat pegawai kanan maritim malaysia

“Di sebalik setiap kejayaan seorang pegawai, terdapat insan tersayang yang  sentiasa memberikan semangat, memahami cabaran tugas, serta menjadi pendorong utama di kala suka dan duka,” 

“Begitu juga peranan rakan setugas yang tidak ternilai dalam memastikan kejayaan dicapai secara kolektif. Tiada kejayaan yang dicapai secara  bersendirian, sebaliknya ia adalah hasil kerjasama, dedikasi, dan semangat  berpasukan yang utuh,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat dan  Pengarah–Pengarah Maritim Negeri. 

Dalam ucapan yang sama, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menekankan bahawa kenaikan pangkat bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh  tanggungjawab. 

Beliau mengingatkan pegawai yang menerima pemangkuan pangkat supaya sentiasa menjaga kebajikan anggota bawahan, kerana kesejahteraan mereka menjadi faktor utama dalam keberkesanan operasi di lapangan. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh bagi Maritim Malaysia, membolehkan Agensi ini terus berkembang dan berperanan sebagai benteng pertahanan maritim  negara. 

“Kita berdiri teguh pada hari ini hasil usaha dan kepimpinan generasi terdahulu. Justeru, penghormatan harus diberikan kepada mereka yang telah membina asas kukuh untuk kita terus memperkasa perkhidmatan dan  menjaga kesejahteraan perairan negara,” tambahnya. 

pemakaian pangkat pegawai kanan maritim malaysia

Majlis didahului dengan pemakaian pangkat Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria kepemangkuan pangkat Laksamana Muda Maritim Gred Utama C yang berkuat kuasa pada 17 Februari 2025 dan diperjawatkan sebagai  Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim. 

Sementara itu, tiga orang pegawai kanan lain menerima pemangkuan pangkat ke Laksamana Pertama Maritim Gred T14 iaitu Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abd Aziz yang diperjawatkan sebagai Pengarah Maritim Negeri  Sarawak, Kepten Maritim Mohd Rizal bin Hishamuddin diperjawatkan sebagai  Pengarah Bahagian Kejuruteraan, dan Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah diperjawatkan sebagai Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah  Maritim. Pemangkuan pangkat ini berkuat kuasa pada 20 Februari 2025. 

Dengan pemakaian pangkat ini, diharapkan barisan kepimpinan Maritim Malaysia terus beriltizam untuk menggalas amanah dengan penuh dedikasi, menjunjung integriti, serta memperkukuh keselamatan dan penguatkuasaan maritim demi kesejahteraan rakyat perairan negara. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.