Baru Setahun Belajar Piano, Kanak-Kanak Dipuji Tak Kekok Alunkan OST Winter Sonata
Siapa yang tidak tahu, kehadiran gelombang “hallyu” ke Malaysia sekitar tahun 2002 menjadi permulaan kepada berkembangnya peminat drama-drama Korea di Malaysia. Drama Korea pertama yang ditayangkan masih segar di ingatan penonton. Winter Sonata, sebuah drama penuh emosi dengan jalan cerita berbeza dari drama dan telenovela yang bersiaran ketika itu.
Lakonan Bae Young Joon dan Choi Ji Woo memenangi hati penonton hampir serta-merta. Tidak hanya berjaya meraih jumlah tontonan yang amat tinggi, drama tersebut turut menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia ke Korea Selatan. Para peminat mula menjelajah ke negara romantis itu bagi melawati tempat-tempat set penggambaran Winter Sonata, terutamanya di musim sejuk bagi mendapatkan pengalaman seperti drama tersebut.
Sudah tentu antara OST yang paling diingati peminat-peminat awal merupakan lagu OST drama Winter Sonata, The Beginning Till Now.
Pernah menghantui jiwa sanubari rakyat Malaysia, OST yang turut mempunyai versi terjemahan Bahasa Melayu, Sonata Musim Salju dendangan Hazami ini kembali bergema di ruang lobi Suria KLCC beberapa hari yang lalu.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun tampil memainkan OST Winter Sonata tersebut menggunakan piano yang disediakan pihak pengurusan. Tanpa kedengaran janggal, OST tersebut bergema dengan indah di tengah-tengah pusat membeli belah itu.
Menerusi rakaman yang tular di TikTok itu, jari-jemari halus Huda bergerak memainkan not-not muzik penuh gemalai. Sambil ditemani bapanya, kanak-kanak tersebut menyajikan persembahan OST berkenaan tanpa sehelai kertas yang dirujuk di hadapannya.
@abafamny From The Beginning till Now (Winter Sonata OST) atau dikenali sebagai Sonata Musim Salju yang dipopularkan Hazami, dimainkan secara piano instrumental oleh Huda & abah di piano awam di perkarangan lobi Suria KLCC. Antara lagu yang sangat terkenal dan sering diminta sewaktu siaran langsung tiktok. Sebuah lagu yang menggamit kenangan muda remaja bagi mereka yang menonton siri ini berbelas tahun lalu. Saya harap anda terhibur dengan persembahan kami. Terima kasih atas sokongan #fromthebeginningtillnow #wintersonata #piano #cover #sonatamusimsalju #ryu #hazami #kdrama #korea #kpop #music #publicpiano #parenting #class #klcc #malaysia #formula1 #f1 #fyp #trending #viral
Lebih mengagumkan, ketika ditanya SK, bapa kepada kanak-kanak tersebut, Abdul Fattah Mohamad Noor memaklumkan anaknya itu hanya baru setahun belajar bermain piano.
“Lebih kurang setahun belajar dengan saya setakat ini,” maklum bapanya.
Untuk pengetahuan, Abdul Fattah pernah tular sebelum ini ketika memainkan lagu OST drama Full House, Why, di Stesen MRT Pasar Seni tahun lalu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya mengagumi bakat terpendam Huda. Malah, ada juga yang terkenang kembali drama Korea pertama yang menambat hati masing-masing.
“Pelukan buat adik Huda,” ujar seorang warga maya.
“Bakal jadi pemain piano yang bagus ni. Insya-Allah. Bangga dengan dia,” puji seorang lagi.
“Belajar betul-betul dik. Rezeki adik luas lagi Allah berikan andai adik boleh menguasai piano ni,” pesan seorang yang lain.
“Cerita ni yang sampai bila-bila dalam memori. Drama Korea pertama masuk Malaysia. Setiap episod ada yang tersurat. Pelakon itu bonus tapi jalan ceritanya siapa kita untuk mengelak jika itu jalan pengakhirannya,” imbau warga maya.
BACA: Murni Hati Murid 7 Tahun, Tak Lupa Bawa Balik Makanan Untuk Adik
Sumber: TikTok @abafamny