Hasil Jualan Hampir RM60k, Lelaki Kongsi Rahsia Untung Tanam Cili
Dalam kesibukan kita mengejar tangga gaji dan komisen penjualan, pasti pernah terdetik di hati untuk pulang saja ke kampung. Hidup tanpa kesibukan bandar, kurang beban perbelanjaan. Mungkin boleh cuba untuk bercucuk tanam atau menternak haiwan.
Namun, pelbagai lagi persoalan mungkin bakal timbul seperti pembayaran komitmen bulanan sedia ada, kos pendidikan anak dan tabungan. Malah yang lebih berat, dari mana boleh kita dapatkan modal bagi memulakan pertanian sedangkan hidup sekarangpun umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tahukah anda? Sebenarnya menjadi petani pada zaman moden ini sebenarnya bukan satu pekerjaan ‘orang miskin’. Malah, petani kini juga turut berupaya mendapat gaji yang lumayan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook membuktikan dengan hanya menanam cili, jumlah jualan yang diperolehi apabila cili dituai bernilai RM59,772.20.
Untuk pengetahuan, jumlah ini merupakan hasil jualan salah seorang peserta projek yang dicetuskan oleh Menteri Ekonomi, Dato Seri Mohd Rafizi Ramli. Projek penanaman cili ini merupakan salah satu rancangan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang telah dilancarkan sejak 26 Februari 2023 lagi.
Menerusi perkongsiannya, lelaki berkenaan menyenaraikan beberapa panduan ringkas bagi mereka yang ingin mendapatkan keuntungan setinggi itu. Seorang petani perlu memastikan penanaman cili minima 2000 polibeg. Sudah tentu, petani perlu tahu arah tuju tempat untuk menjual hasil tuaian.
Selain itu, kehadiran rakan yang sudah berjaya menanam cili juga perlu sebagai penasihat.
Petani juga perlu mempunyai kemahuan dan disiplin dalam memastikan tanamannya mencapai sasaran. Bercakap tentang sasaran, lelaki berkenaan turut menasihatkan petani untuk menyasarkan penghasilan cili seberat 1.5 kilogram bagi setiap polibeg secara konsisten setiap musim.
“Jual pada harga RM7 ke atas, dan pastikan cili berat dan besar,” pesannya.
Dengan harga yang ditetapkan dan jualan cili melebihi tujuh tan, sudah pasti nilai jualan mampu mencecah RM60 ribu.
“Itu baru harga purata RM8, belum lagi kena harga ketika berbelas ringgit,” tambahnya.
Ketika ditanya SK, lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Seri Fertigasi ini dilantik sebagai Ketua Penasihat Utama untuk tanaman cili fertigasi. Dengan pengalaman selama 16 tahun menanam cili, beliau telah memberikan khidmat nasihat kepada orang ramai selama 10 tahun, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian.
“Sekarang saya beri nasihat secara percuma dengan syarat petani yang berminat harus datang ke tempat penanaman cili di Putrajaya ni,” maklumnya lagi.
Menurutnya, seramai 20 orang peserta telah mengikuti projek penanaman cili ini dengan setiap peserta menjaga 2000 polibeg pokok cili.
“IPR Putrajaya ada 40 ribu polibeg pokok cili dengan keluasan 10 ekar. Pendapatan yang saya kongsi tu merupakan pendapatan yang peserta dapat sendiri,” katanya.
Sebagai Ketua Penasihat Utama, beliau bertanggungjawab memantau perjalanan projek dan memastikan sasaran kementerian tercapai.
“Saya berharap petani yang ingin menceburi penanaman cili secara fertigasi ini wajib berguru dengan orang yang sudah berjaya menanam dan sudah terbukti kejayaannya,” ujarnya ketika ditemu bual SK.
BACA: Murni Hati Murid 7 Tahun, Tak Lupa Bawa Balik Makanan Untuk Adik
Sumber: Seri Fertigasi, Menteri Ekonomi