Tanah Jerlus Di Brazil Makin Teruk, Kenali Fenomena “Voçoroca”
Beberapa negara pernah digemparkan dengan kejadian tanah jerlus yang menyebabkan kerosakan infrastruktur, kes yang meragut nyawa dan kehilangan harta benda.
Fenomena ini berlaku apabila lapisan tanah di permukaan runtuh secara tiba-tiba, di mana membentuk lubang besar yang boleh menelan apa sahaja di atasnya.
Faktor seperti struktur geologi, aktiviti manusia serta perubahan iklim sering dikaitkan dengan kejadian tersebut.
Baru-baru ini, bandar Buriticupu di timur laut Amazon Brazil menghadapi ancaman serius akibat kejadian tanah jerlus besar yang dikenali sebagai fenomena voçoroca.
Difahamkan, fenomena ini telah menyebabkan kerajaan perbandaran mengisytiharkan keadaan darurat, dengan kira-kira 1,200 daripada 55,000 penduduk berisiko kehilangan kediaman mereka.
Fenomena Voçoroca terbentuk akibat hakisan tanah yang berterusan selama lebih 30 tahun, disebabkan oleh kombinasi hujan lebat, sifat tanah berpasir, penebangan hutan dan pembinaan yang tidak terancang.
Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda mengenai fenomena “voçoroca” dengan lebih mendalam.
Pertanian intensif boleh meningkatkan risiko hakisan tanah
Menurut Springer Nature, taburan spatial bencana yang berkaitan dengan hakisan linear di Brazil menunjukkan kaitan antara pembentukan lurah dan jurang dengan sempadan pertanian.
Keadaan lebih teruk terutamanya di wilayah Utara dan Tengah-Barat.
Ini termasuk kawasan Cerrado (Savana Brazil) dan Hutan Hujan Amazon, di mana perubahan penggunaan tanah yang paling ketara berlaku antara akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21.
Dalam pada itu, pembentukan lurah dan jurang biasanya hasil daripada beberapa faktor yang berbeza. Ianya termasuk hujan lebat, topografi (cerun, kawasan saliran kritikal, bentuk tadahan), geologi dan keadaan geoteknikal tanah.
Aktiviti antropogenik juga merupakan elemen penting dalam pembentukan lurah dan jurang, terutamanya yang berkaitan dengan penebangan hutan, kebakaran hutan dan perlombongan.
Difahamkan, pertanian intensif dan pembandaran juga dapat meningkatkan aliran air permukaan.
Musim kemarau dapat melemahkan struktur tanah
Di Brazil, jurang dan lurah merupakan masalah bersejarah di beberapa wilayah, terutamanya di kawasan yang mengalami pelbagai kitaran kolonisasi.
Semasa kitaran emas di negeri Minas Gerais, kawasan jalan di luar bandar yang berkaitan dengan perlombongan emas menyumbang kepada pembentukan jurang dan lurah akibat aliran air hujan permukaan yang tertumpu.
Springer Nature berkata, peningkatan kekerapan hujan lebat akibat perubahan iklim berkemungkinan menyumbang kepada pemburukan hakisan.
Dalam masa sama, musim kemarau yang lebih intensif juga boleh melemahkan struktur tanah dan meningkatkan ketidakstabilan.
Unjuran perubahan iklim di Brazil menunjukkan peningkatan suhu di semua wilayah dan kejadian hujan lebat yang lebih kerap di Selatan dan Tenggara.
Manakala situasi kemarau pula lebih kerap berlaku di Amazon dan wilayah Timur Laut.
Terdapat jurang besar sedalam 230 kaki di Brazil
Pada tahun 2023, Daily Mail melaporkan bahawa jurang besar sedalam 230 kaki (70m) dan tanah runtuh hampir mengancam bandar Buriticupu dalam tempoh 30 hingga 40 tahun.
Terdapat 26 jurang yang berukuran lebih daripada 978 kaki (298 meter) panjang, yang telah terbentuk selama bertahun-tahun akibat penebangan hutan di dalam dan sekitar bandar.
Keadaan menjadi lebih serius kerana kawasan hutan di sekitar bandar telah ditebang secara meluas.
Dalam enam bulan pertama tahun lalu, kawasan hutan seluas lima kali ganda saiz New York City telah dibersihkan, di mana ia memiliki rekod tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Beberapa jurang di Buriticupu bermula sebagai retakan di tanah yang disebabkan oleh air hujan, namun ia kemudiannya berkembang menjadi jurang besar dari semasa ke semasa.
Tanpa pokok untuk mengukuhkan tanah dan mengikat lapisan tanah di bahagian atas, air permukaan yang mengalir akan terus berkumpul di kawasan yang terdedah.
Situasi tersebut kemudian akan menyebabkan kejadian hakisan tanah berlaku di sekelilingnya.
BACA: ATC 2025: Nurul Izzah Izzati Pecah Rekod Kebangsaan, Mara Ke Separuh Akhir
Sumber: Springer Nature