Crockfords, Hotel Mewah Terkemuka Malaysia, Meraih Anugerah 5 Bintang Forbes Travel Guide untuk Tahun Ke-7 Berturut-turut
Genting Highlands, 20 Februari 2025 – Crockfords di Resorts World Genting (RWG) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hospitaliti bertaraf dunia dengan menerima penarafan 5 bintang dalam Forbes Travel Guide edisi ke-67, menandakan tahun ketujuh berturut-turut hotel ini menerima penghormatan berprestij tersebut.
Sebagai ikon kemewahan unggul dan eksklusif, Crockfords mengukuhkan reputasinya sebagai satu-satunya hotel di Malaysia yang menerima pengiktirafan 5 Bintang berprestij daripada Forbes Travel Guide pada tahun 2025. Hotel ini juga tersenarai dalam kumpulan 539 hartanah mewah terkemuka dunia yang diiktiraf dengan penghormatan ini. Pengiktirafan tersebut mengukuhkan kedudukan Crockfords di peringkat global sebagai penyedia hospitaliti serba mewah, yang menawarkan pengalaman tetamu yang eksklusif, diperibadikan, dan tiada tandingan.
Hartanah RWG, Genting Grand dan Highlands Hotel, terus memperkukuh reputasinya di peringkat antarabangsa dengan masing-masing menerima pengiktirafan sebagai Hartanah 4 Bintang Forbes dan Hartanah Disyorkan Forbes. Pencapaian ini menandakan tahun kelapan berturut-turut kedua-dua hotel ini mengekalkan pengiktirafan berprestij tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan RWG sebagai peneraju dalam industri hospitaliti mewah global.
Forbes Travel Guide diiktiraf sebagai penanda aras global bagi kecemerlangan hospitaliti mewah, merangkumi hotel, restoran, spa, dan pelayaran bertaraf dunia. Penarafan anugerahnya berfungsi sebagai rujukan utama bagi tetamu yang mengutamakan kemewahan, perkhidmatan bertaraf dunia, dan pengalaman eksklusif. Melalui sistem penilaian khas, daripada Forbes Travel Guide menjalankan penilaian secara sulit oleh pemeriksa pakarnya bagi memastikan setiap hartanah memenuhi standard tertinggi dalam industri hospitaliti. Untuk meraih penarafan 5 Bintang, sesebuah hotel mesti mencapai skor minimum 90% dalam semua aspek, daripada kualiti perkhidmatan hingga ke perincian terkecil, sekali gus menetapkan piawaian tertinggi dalam industri hospitaliti global.
Crockfords di RWG, yang terletak di dataran tinggi sejuk, merupakan permata tersembunyi paling mewah di Malaysia serta simbol kemewahan dan keanggunan tertinggi. Diilhamkan daripada kediaman mewah London, hotel ini direka dengan teliti untuk menawarkan pengalaman eksklusif yang mengutamakan keselesaan dan kemewahan. Lobi megahnya dihiasi perabot mewah, kemasan marmar yang elegan, arca pokok emas ikonik, serta koleksi seni bernilai tinggi, mewujudkan suasana yang mencerminkan prestij dan kecemerlangan tanpa tandingan.
Crockfords di RWG menawarkan pengalaman penginapan mewah dengan pemandangan panoramik pergunungan berkabus yang mengagumkan dari setiap sudut 177 biliknya, merangkumi 3 Vila, 19 Suite Signature dengan tiga tema eksklusif, 13 Suite Junior, dan 142 Bilik Superior. Menggabungkan reka bentuk moden dan kemewahan bertaraf dunia, setiap suite dilengkapi dengan sauna peribadi serta kemasan marmar Greek Calacatta yang direka khas untuk Crockfords. Selain itu, teknologi pintar turut diterapkan dalam setiap bilik bagi memastikan kemudahan dan keselesaan maksimum, menjanjikan pengalaman penginapan yang tiada tandingan.
Melangkaui kemewahan dan kemudahan eksklusif, Crockfords menetapkan piawaian kecemerlangan dalam hospitaliti mewah melalui perkhidmatan yang diperibadikan dengan teliti, didorong oleh komitmen terhadap kualiti dan kesempurnaan. Teras identitinya ialah komitmen teguh untuk menyediakan pengalaman tetamu yang disesuaikan secara eksklusif serta layanan yang teliti dan proaktif, memenuhi setiap keperluan dan kehendak dengan ketelitian serta profesionalisme tertinggi.
Bermula dengan penyediaan teh halia yang terkenal dengan manfaat kesihatannya, terutamanya untuk tetamu warga emas, hingga kemudahan mesra kanak-kanak seperti permainan untuk anak-anak tetamu, setiap tetamu akan menerima layanan yang penuh perhatian. Kakitangan Crockfords yang cemerlang sentiasa bersedia sepanjang masa untuk memenuhi dan melangkaui jangkaan tetamu.
“Kami amat berbesar hati menerima penarafan lima bintang daripada Forbes Travel Guide yang berprestij. Di RWG, kami komited untuk terus meneroka peluang baharu dalam usaha mencapai piawaian emas yang lebih tinggi bagi menyediakan hospitaliti bertaraf dunia.” kata Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran & Perhubungan Awam, RWG.
“Pengiktirafan terkini daripada Forbes Travel Guide ini memperkukuhkan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman penginapan yang tiada tandingan. Sebagai hartanah 5-Bintang Forbes Travel Guide, Crockfords berdiri megah sebagai destinasi eksklusif yang melambangkan kemewahan dan perkhidmatan bertaraf dunia. Dengan penuh kebanggaan, kami memastikan setiap kunjungan menjadi pengalaman luar biasa yang meninggalkan kenangan bermakna,” kata David Leung Ming Sum, Naib Presiden Operasi Hotel.
RWG baru-baru ini dianugerahkan Anugerah Tarikan Pelancongan Baru Terbaik ASEAN di Anugerah Kecemerlangan ASEANTA ke-34 yang diadakan di Johor Bahru. Sebagai resort terkemuka di puncak awan, RWG bersedia untuk menyambut tetamu dari seluruh ASEAN, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Untuk maklumat lanjut mengenai Crockfords serta perkembangan dan acara terkini di RWG, sila lawati laman web rasmi di rwgenting.com.