Siakap Keli

#HajiSejahtera: Jangan Biarkan COVID-19 Ganggu Ibadah Anda

Menunaikan haji adalah impian setiap Muslim, tetapi perjalanan ini bukan sekadar soal kewangan dan persediaan mental, ia juga menuntut perhatian terhadap kesihatan. Bayangkan setelah bertahun-tahun menabung dan menunggu giliran, akhirnya impian ke Tanah Suci menjadi kenyataan. Sayangnya, sebelum sempat menyempurnakan ibadah, anda jatuh sakit akibat COVID-19. Bukan sahaja perjalanan haji terganggu, tetapi kesihatan diri terancam, keselamatan jemaah lain terjejas, dan keluarga di tanah air turut bimbang. Kesempatan berharga ini sepatutnya berjalan lancar dan selamat, dan itulah sebabnya menjaga kesihatan sebelum berangkat amat penting.

 

Bagi memastikan jemaah haji menunaikan ibadah dengan selamat, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah mewajibkan suntikan Vaksin Meningococcal bagi semua jemaah, serta Vaksin Influenza dan Vaksin COVID-19 bagi kumpulan sasar yang berisiko tinggi, termasuk warga emas berusia 65 tahun ke atas dan individu dengan masalah kesihatan yang dikenal pasti semasa saringan perubatan. Langkah ini bukan sekadar syarat perjalanan tetapi usaha penting untuk melindungi kesihatan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci. Namun, masih banyak kekeliruan mengenai vaksinasi ini. Jadi, mari kita bongkar mitos dan ketahui fakta sebenar!

 

MITOS #1

 

Jemaah Haji tidak perlu mengambil vaksin COVID-19 sebelum menunaikan haji kerana ia tidak wajib.
FAKTA #1 Vaksin COVID-19 diwajibkan bagi jemaah haji berisiko tinggi, bukan sekadar syarat perjalanan tetapi perlindungan penting untuk kesihatan dan kelangsungan ibadah. Bagi memudahkan jemaah, vaksin ini boleh didapati secara percuma di 247 klinik kesihatan terpilih di seluruh negara. Senarai penuh klinik boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau di laman rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) di www.tabunghaji.gov.my.

 

MITOS #2

 

Jika terkena COVID-19, kesannya hanya ringan dan tidak menjejaskan perjalanan haji.
FAKTA #2 COVID-19 bukan sekadar selesema biasa, ia boleh membawa komplikasi serius, terutama bagi warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma, dan penyakit paru-paru kronik. Bayangkan dalam kesibukan mengerjakan ibadah di Tanah Suci, anda tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas, keletihan melampau, atau lebih teruk, perlu dimasukkan ke hospital. Bukan sahaja ibadah terganggu, malah kesihatan diri dan keselamatan jemaah lain turut terancam. Oleh itu, ia amat penting bagi Jemaah haji untuk lindungi diri dengan vaksinasi agar haji anda berlangsung dengan lancar dan selamat.

 

 

MITOS #3

 

Vaksin COVID-19 mempunyai kesan sampingan berbahaya yang boleh memudaratkan jemaah.
FAKTA #3 Kesan sampingan vaksin biasanya ringan dan sementara, seperti sedikit sakit di tempat suntikan, keletihan, atau demam ringan—tidak berbeza dengan vaksin lain yang pernah diambil sebelum ini. Namun, bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung, asma, atau penyakit paru-paru kronik, jangkitan COVID-19 boleh menjadi lebih serius hingga memerlukan rawatan di hospital. Bayangkan jika anda berada di Tanah Suci, bukan di rumah sendiri, dan tiba-tiba jatuh sakit sehingga perlu dimasukkan ke hospital.

 

MITOS #4

 

Jemaah Haji yang sudah pernah dijangkiti COVID-19 tidak perlu mengambil vaksin kerana mereka sudah mempunyai imuniti semula jadi.
FAKTA #4 Pernah dijangkiti COVID-19? Jangan sangka anda sudah kebal. Imuniti semula jadi tidak kekal selamanya dan boleh berkurang dengan masa, menjadikan anda terdedah kepada jangkitan semula. Tambahan pula, varian baharu virus ini lebih mudah merebak dan mungkin lebih berbahaya.

 

Bagaimana dan Di Mana Jemaah Haji Boleh Mendapatkan Vaksin COVID-19?

Jemaah haji yang berumur 65 tahun ke atas serta mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi selepas menjalani saringan kesihatan diwajibkan mendapatkan vaksin COVID-19.

 

Bagi jemaah lain yang tidak tergolong dalam kategori wajib tetapi ingin mendapatkan perlindungan tambahan, mereka boleh memilih untuk menerima vaksin secara sukarela selepas berunding dengan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan yang ditetapkan.

 

Vaksin ini boleh didapati secara percuma di 247 klinik kesihatan terpilih di seluruh Malaysia. Bagi memudahkan urusan, jemaah boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari atau melalui laman web rasmi Tabung Haji (TH). Sehari sebelum tarikh vaksinasi, peringatan janji temu akan dihantar melalui MySejahtera bagi memastikan jemaah tidak terlepas sesi suntikan mereka.

 

Program vaksinasi ini bermula pada 17 Februari. Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai garis panduan vaksinasi, jemaah boleh menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Tabung Haji (TH).

 

Bagi jemaah haji yang ingin mendapatkan perlindungan tambahan, vaksin pneumokokal amat disarankan dan boleh diambil bersama vaksin influenza. Penyakit pneumokokal ialah antara penyebab utama kemasukan ke hospital di kalangan Jemaah. Kesesakan di ruang terhad boleh menaikkan potensi penyebaran penyakit berjangkit seperti penyakit pneumokokal di kalangan jemaah melalui kontak rapat dan batuk.

 

Jadi jangan lupa untuk membuat persiapan asas dan tanya doktor anda tentang vaksinasi untuk mencapai perjalanan yang sihat, selamat dan bermanfaat.

 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.