Siakap Keli
penstabilan harga

Kerajaan Teliti Cadangan Dan Syor Kajian Penstabilan Harga Di Sabah, Sarawak & Wilayah Persekutuan Labuan

Kerajaan Teliti Cadangan Dan Syor Kajian Penstabilan Harga Di Sabah, Sarawak & Wilayah Persekutuan Labuan

Hari ini telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di  Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan Bil. 1/2025 yang  dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana  Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). 

Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform dalam meneliti isu-isu, cabaran serta  melaksanakan kajian berhubung masalah harga barangan dan perkhidmatan di  Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa ini turut menyediakan cadangan strategi dan  mekanisme dalam penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan. 

Mesyuarat kali ini telah membincangkan dua kertas pertimbangan dan dua kertas  makluman. Dua kertas pertimbangan yang dibentangkan ialah Hasil Laporan Akhir Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan WP Labuan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Manakala,  dua kertas makluman yang dibincangkan pula ialah Status Keputusan Mesyuarat  Penyelarasan Penguatkuasaan bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Negeri  Sabah, Sarawak dan WP Labuan oleh KPDN dan Laporan Status Bekalan dan  Harga serta intervensi Padi dan Beras di Sabah dan Sarawak oleh Kementerian  Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

penstabilan harga

Laporan Akhir Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan

Mesyuarat hari ini mengambil maklum cadangan inisiatif dan syor oleh UMS dan  UNIMAS melibatkan usaha kerajaan persekutuan dan negeri untuk memperkasa  rantaian bekalan dan menstabilkan harga makanan di Negeri Sabah, Sarawak  dan WP Labuan. Laporan akhir ini turut diserahkan kepada wakil Kerajaan Negeri  Sabah, Sarawak dan WP Labuan.  

Antara isu yang disentuh dalam kajian ini ialah faktor-faktor utama yang mempengaruhi harga barangan keperluan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan seperti isu logistik/pengangkutan ke kawasan-kawasan penempatan yang  terpencil, kos input/pengeluaran seperti baja, benih, makanan haiwan yang tinggi  kerana perlu diimport, serta kemampuan kapasiti pengeluaran yang rendah bagi  barang-barang seperti beras, gula dan daging lembu. 

Laporan ini turut memberikan syor jangka pendek, sederhana dan panjang yang boleh dilaksanakan bukan sahaja oleh kementerian dan agensi kerajaan, tetapi juga oleh pemain-pemain industri yang berkaitan. Justeru, mesyuarat pada hari  ini bersetuju untuk mewujudkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Teknikal bagi merangka langkah-langkah susulan cadangan dan syor yang dikemukakan supaya dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. 

penstabilan harga

Status Pelaksanaan Keputusan Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Negeri Sabah, Sarawak dan WP Labuan 

Mesyuarat mengambil maklum status pelaksanaan keputusan Mesyuarat Penyelarasan penguatkuasaan bersama agensi-agensi penguatkuasaan bagi  menangani isu ketirisan barang kawalan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang  diadakan pada 14 Disember 2025. Inisiatif ini penting bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terutama di kawasan sempadan dan perairan.

Status Bekalan dan Harga serta Intervensi Padi dan Beras di Sabah, Sarawak dan WP Labuan. 

Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum mengenai status bekalan dan harga padi dan beras di Sabah,Sarawak dan WP Labuan. Sebanyak RM420 juta telah diperuntukkan bagi subsidi harga beras putih import di Sabah, Sarawak dan WP  Labuan sejak pelaksanaannya bermula 5 Oktober 2023 sehingga 31 Disember  2024. Manakala dalam Belanjawan 2025, Kerajaan masih meneruskan program subsidi ini dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM352 juta.  

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.