Siakap Keli
pembedahan hati anggun
Kredit: Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia

Doakan Adik Anggun, Bakal Jalani Pembedahan Hati Esok

Doakan Adik Anggun, Bakal Jalani Pembedahan Hati Esok

Pernah mendapat liputan bagi memohon bantuan menjalani pembedahan, Nur Anggun Eshal Syakir Zufayri dikhabarkan bakal menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai pada 26 Februari.

Terdahulu, Anggun yang merupakan permata hati kepada pasangan Shakir Zufayri dan Ain Ardina pernah menjalani pembedahan Kasai namun gagal. Pembedahan ini terpaksa dijalani Anggun apabila bayi kecil ini disahkan menghidap penyakit Biliary Atresia. Untuk pengetahuan, penyakit ini menyebabkan kegagalan fungsi hati yang kritikal. Kini, pembedahan yang menelan kos RM200,000 itu menjadi harapan kedua buat keluarga kecil ini.

Sehubungan dengan itu, mereka juga memohon sokongan dan doa dari orang ramai agar pembedahan tersebut berjalan lancar.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia kepada SK.

“Kami dengan rendah hati ingin memohon doa dan sokongan daripada semua agar pembedahan ini dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi. Semoga segala usaha yang dilakukan oleh para doktor dan pasukan perubatan dipermudahkan.

“Juga doakan Anggun serta Puan Ain Ardina diberikan kekuatan, ketabahan dan kesembuhan yang sempurna selepas pembedahan ini,” ujar organisasi tersebut.

Menurut mereka lagi, perkembangan pembedahan Anggun akan dikemas kini di laman Instagram pertubuhan berkenaan.

Menerusi makluman yang dimuat naik di laman rasmi Facebook pertubuhan itu, Puan Ain Ardina bakal menjadi penderma hati bagi anaknya. Seluruh ahli keluarga Anggun telah berangkat ke Shanghai, China pada 13 Februari lalu. Mereka diiringi pasukan MEDEVAC yang terdiri daripada doktor dan juruteknik perubatan kecemasan iaitu Dr Ganapati Subramaniam dan Wong Chun Kit. Difahamkan, kos bagi pasukan pengiring ini ditaja oleh Yayasan Tzu Chi Charity.

Setibanya keluarga yang membawa segunung harapan ini di Lapangan Terbang Pudong, mereka disambut dan diiringi oleh Dr Long sepanjang perjalanan ke Hospital Renji. Dengan diketuai oleh Dr Wan, pasukan perubatan Anggun hadir bagi membuat pemeriksaan ke atasnya sebaik mereka sekeluarga tiba di hospital berkenaan.

Dalam muat naik yang lain, pihak Nadi Permata turut memberi penghargaan khas buat kru dan penumpang penerbangan Malaysia Airlines yang turut memberikan kerjasama sepanjang penerbangan keluarga kecil itu.

“Kami amat menghargai sambutan serta perhatian yang diberikan oleh semua pihak dalam memastikan kelancaran perjalanan dan kesejahteraan Adik Anggun,” ucap badan berkenaan.

BACA: Adik Anggun Eshal Perlu Bantuan Jalani Pemindahan Hati

BACA: Hidap Komplikasi Penyakit Hati Tahap Akhir, Adik Eileen Terbang Ke China Untuk Pembedahan

Sumber: Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.