Siakap Keli
pembedahan anggun
Kredit: Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia

Adik Anggun Berjaya Jalani Pembedahan Hati

Berkat Doa & Sokongan Ramai, Adik Anggun Berjaya Jalani Pembedahan Hati

Bayi yang menghidapi penyakit Biliary Atresia, Nur Anggun Eshal Syakir Zufayri telah berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati pada Rabu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia kepada SK.

“Kini, Anggun ditempatkan di ICU bawah pemantauan rapi doktor dan jururawat,” maklum pertubuhan itu.

Ibu kepada bayi tersebut, Puan Ain Ardina yang menjadi penderma hati kepada anaknya juga telah selamat menjalani rawatan.

“Ibu Anggun, Puan Ain Ardina juga kini stabil dan sekarang berada di wad biasa.

“Kami amat bersyukur atas segala urusan yang telah dipermudahkan dan berharap agar kedua-duanya diberikan kesembuhan yang sempurna serta kekuatan untuk kembali pulih seperti sedia kala,” ucap wakil pertubuhan tersebut.

Pihak Nadi Permata turut menyampaikan ucapan terima kasih buat semua pihak yang memberi sokongan, menitipkan doa dan menghulurkan bantuan kepada keluarga kecil ini.

Menerusi satu muat naik di laman Facebook pertubuhan berkenaan, pembedahan tersebut difahamkan mengambil masa yang lebih lama disebabkan keadaan dalaman bayi berkenaan yang agak serius.

Terdahulu, Anggun sekeluarga telah berlepas ke Shanghai, China pada 13 Februari dengan diiringi pasukan MEDEVAC. Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Pudang disambut dan diiringi oleh Dr Long. Keluarga kecil ini disambut pula oleh pasukan perubatan Anggun yang diketuai oleh Dr Wan ketika tiba di Hospital Renji.

Dalam muat naik berasingan, pertubuhan tersebut turut mengabadikan detik-detik sebelum pembedahan pemindahan hati itu dijalankan. Kedua ibu dan bapa Anggun bergambar bersama anak kecil mereka dengan senyuman penuh harapan.

Suasana sayu tergambar tatkala Puan Ain yang sudah lengkap memakai pakaian pesakit, mengucup wajah anaknya sebelum mereka berdua menjalani pembedahan. Turut menemani wanita berkenaan ketika pemeriksaan terakhir dilakukan, pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, Puan Mars dan Pengarah Wad Pedriatik, Bahagian Pembedahan dan Pemindahan Hati Hospital Renji, Profesor Xue Feng.

Puan Mars turut menitipkan pesanan dan doa sebelum Puan Ain ditolak masuk ke dewan bedah.

Kredit: Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia

BACA: Doakan Adik Anggun, Bakal Jalani Pembedahan Hati Esok

BACA: Adik Anggun Eshal Perlu Bantuan Jalani Pemindahan Hati

Sumber: Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.