Hujan Lebat Malam Ini Di 8 Negeri, 2 Wilayah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan sehingga 9 malam ini.
Menerusi muat naik di Facebook, amaran tersebut berkuat kuasa terhadap seluruh negeri Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di Kedah, kawasan yang terlibat hanya Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Manakala di Selangor, MetMalaysia menyenaraikan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sepang bakal dilanda hujan.
Terus ke Negeri Sembilan, kebanyakan kawasan dijangka hujan lebat. Antaranya termasuk Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau.
Di Pantai Timur pula, MetMalaysia hanya menyenaraikan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub di Pahang bakal terima hujan malam ini.
Beralih ke Sarawak, hanya tiga kawasan dijangka hujan iaitu Bintulu, Miri dan Limbang.
Berlainan pula keadaan cuaca di Sabah. Hampir kebanyakan kawasan dijangka hujan lebat termasuk Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau). Begitu juga Pantai Barat (Papar, Putatan dan Penampang) dan Sandakan (Tongod).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan berkenaan.
Orang awam dinasihati berjaga-jaga ketika berada di luar dan amalkan langkah keselamatan sepanjang masa.
Terbaru, Bernama melaporkan sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di Telupid, Sabah petang ini.
Dalam pada itu, laporan Bernama menerusi Astro Awani mengesahkan tiga PPS yang telah dibuka semalam di Tanah Merah yang menempatkan 62 mangsa daripada 17 keluarga dilaporkan telah ditutup pada 12 tengah hari tadi.
Menurut Penyelaras Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, Mohd Ahnaf Hanafi, mangsa dibenarkan pulang apabila banjir yang menaiki kediaman mereka surut.
“Bagaimanapun, sekiranya banjir berlaku lagi penduduk diarahkan supaya segera berpindah ke PPS yang berdekatan. Ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.
BACA: Subsidi Tiket Penerbangan Untuk Hari Raya Diteruskan – MOT
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bernama, Astro Awani